Momota bukan di tahap terbaik
PETALING JAYA: Juara dunia dua kali dari Jepun, Kento Momota tidak berada pada prestasi terbaiknya ketika tersingkir di suku akhir kejohanan badminton All England, semalam.
Dalam aksi di Birmingham itu, pemain perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia melakar kejutan terbesar di kejohanan bertaraf Super 1,000 itu dengan menyingkirkan pemain No.1 dunia itu dengan keputusan 21-16, 21-19 untuk ke separuh akhir berdepan pemain Belanda, Mark Caljouw.
Kejohanan All England merupakan aksi kompetitif pertama Momota selepas hampir setahun tidak beraksi akibat terlibat dengan kemalangan jalan raya selain penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.
“Zii Jia bermain dengan baik tetapi kami semua tahu bahawa Momota tidak berada pada tahap terbaik dan kami berjaya memanfaatkan perkara itu dan menang.
“Selepas ini Zii Jia perlu fokus dalam aksi separuh akhir bagi mencari slot final,” kata jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Tey Seu Bock menerusi laman Facebook Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Sementara itu, Zii Jia mengakui, perjalanannya masih panjang namun gembira kerana berjaya ke separuh akhir All England buat kali kedua dan berjaya menewaskan Momota selepas enam kali tewas kepada bintang Jepun itu.
“Saya pernah bertemu dengannya (Caljouw) dua tahun lalu di Terbuka Jerman. Dia lawan yang sukar tetapi saya sudah tidak sabar untuk turun beraksi,” katanya.
Seandainya mara ke final malam ini, Zii Jia berkemungkinan besar akan membuat perhitungan dengan bekas juara dunia dari Denmark, Viktor Axelsen bagi merebut kejuaraan pertamanya di England.
Kali terakhir perseorangan lelaki Malaysia muncul juara di All England ialah menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2017.
Serah tubuh jika mahu menyewa, sikap jijik pemilik rumah tawar syarat tak masuk akal terbongkar