Bantuan RM500 hanya buat B40 hilang pendapatan dan penerima BPR gaji bawah RM1,000
Golongan B40 yang hilang pendapatan akan menerima bantuan tunai sekali beri sebanyak RM500 sementara penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) berpendapatan RM1,000 ke bawah akan menerima bayaran tambahan sebanyak RM500 mulai Jun ini.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata bantuan melibatkan peruntukan RM1.2 bilion kepada 2.4 juta penerima itu adalah antara inisiatif di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bagi membantu golongan kehilangan pendapatan.
“Dalam menghadapi cabaran wabak ketika ini, kerajaan akan terus memelihara kebajikan rakyat terutamanya mereka yang masih terjejas.
“Inisiatif kali ini akan lebih tertumpu kepada golongan rentan, kurang upaya dan mereka yang kehilangan pekerjaan,” katanya dalam pengumuman khas Pemerkasa yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen utama dan platform media sosial.
Kedua-dua kategori penerima bantuan berumur antara 21 hingga 60 tahun dan mereka tidak perlu membuat pendaftaran permohonan.
Bantuan akan dibayar ke akaun penerima selepas pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang dibuat melalui sistem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Ssial (Perkeso).
Individu berstatus bankrap juga akan diberi kelonggaran untuk membuka akaun bank secara dalam talian bagi memudahkan mereka menerima bantuan kerajaan melalui permohonan e-mel kepada Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes mereka.
Pendaftaran sebagai penerima vaksin bermula Mac
“Sebarang bantuan tunai yang dikreditkan tidak akan mengalami sebarang potongan ansuran bulanan,” katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga bersetuju memanjangkan tempoh kuat kuasa perlindungan bagi ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual yang akan berakhir pada 31 Mac sehingga 30 Jun, selain memperluas jenis kontrak yang terlibat.
Bagi menambah baik program bantuan rentan bandar, kerajaan menyediakan peruntukan RM100 juta untuk program bantuan barangan dapur melalui inisiatif pembelian tanpa tunai memanfaatkan 300,000 isi rumah miskin di bandar-bandar utama seluruh negara.
-Bagi membantu golongan gelandangan, beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menubuhkan Anjung Kelana di Taman Desa Kuala Lumpur sebagai pusat perlindungan sementara.
Mengenai inisiatif mySalam berhubung Covid-19, Muhyiddin berkata ia telah memafaatkan lebih 70,000 golongan B40 dengan jumlah bayaran RM40 juta.
Bagi menambah baik skim itu, golongan B40 yang dibenarkan untuk dikuarantin di rumah kerana wabak tersebut layak menerima manfaat bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari selama maksimum 14 hari tertakluk kepada pengesahan pegawai perubatan.
Kerajaan juga akan memperuntukkan RM30 juta untuk meluaskan perkhidmatan kesihatan program klinik bergerak ke seluruh negara melalui program KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (Kris) dalam menyediakan rawatan asas dan pemeriksaan percuma kepada warga tempatan.
Perdana Menteri berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat akan melantik 2,500 orang pegawai tambahan di bawah inisiatif MyStep dalam melaksanakan proses verifikasi penerima bantuan.
Pemerkasa bernilai RM20 bilion menumpukan 20 inisiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan.
Najib lawan permohonan kerajaan AS halang akses dokumen 1MDB