Namewee akan serah diri di Bukit Aman selepas dikuarantin


Penyanyi rap dan pengarah filem kontroversi, Namewee sudah pulang ke Malaysia dan akan menyerah diri di Bukit Aman selepas menjalani kuarantin selama tujuh hari.

Dalam kenyataan di Facebook, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee berkata, dia dibawa polis dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik melepasi pemeriksaan imigresen.

“Semasa melepasi pemeriksaan imigresen, lampu merah menyala ketika saya memasukkan pasport. Dan ini menunjukkan saya ialah orang dikehendaki.

“Saya kemudian dibawa ke balai polis KLIA, di mana saya ditahan selama dua jam,” katanya.

Namewee ke Taiwan pada Julai tahun lalu dan menghadiri sebuah upacara anugerah muzik, di mana dia dicalonkan untuk anugerah lagu tahunan.

Sebelum ini, Namewee berkata, dia tidak akan menayangkan filem terbarunya bertajuk “BABI” di Malaysia kerana “terlalu ramai ekstremis yang tak tahu malu” di negara ini.

Katanya, dia juga tidak akan memohon mana-mana badan atau pertubuhan di Malaysia menayangkan filem yang mendapat pengiktirafan di luar negara itu.

Sebelum ini, Ahli Unit Penerangan Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan, Mohammad Azwan Azmi membuat laporan polis terhadap Namewee berhubung poster filem berkenaan yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum.

Katanya, laporan polis dibuat kerana poster filem itu mengandungi perkataan “Melayu Bodoh”, “India Keling” dan “Cina Babi”.

Beliau berkata, pihaknya turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyekat kandungan berkaitan filem tersebut daripada diakses rakyat Malaysia melalui Facebook, YouTube dan Instagram miliknya. FMT

Seniman lapor polis filem ‘Babi’ Namewee berunsur perkauman

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker