Polis sasar 20-30% anggota baharu bukan Bumiputera, Orang Asli

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan 20 hingga 30% jumlah keanggotaan daripada kalangan bukan Bumiputera serta Orang Asli untuk membentuk satu pasukan lebih dinamik dalam usaha menegakkan undang-undang dan menjaga keselamatan negara.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, pengambilan lebih ramai bukan Bumiputera dan Orang Asli penting kerana ia akan mengatasi masalah komunikasi bagi menyelesaikan pelbagai kes.

“Saya takut nanti keanggotaan dalam PDRM terdiri daripada 95% Bumiputera, termasuk Sabah dan Sarawak, perkara itu nanti tidak nampak cantik dan harapan tinggi tidak boleh diletakkan kepada kami untuk bergerak sebagai sebuah pasukan yang dinamik.

“Mungkin 20% atau 30% mengikut komposisinya. Saya mengalu-ngalukan (keanggotaan bukan Bumiputera) sebab lagi bertambah kepelbagaian keanggotaan dalam PDRM, lagi cepat kita dapat bergerak, tiada halangan dalam komunikasi,” katanya semasa ditemu bual Bernama.

Mengenai jurang peratusan kaum itu, Hamid berkata, setakat ini, 1.9% kaum Cina dan 3% kaum India menganggotai PDRM daripada kira-kira 123,000 pegawai dan anggota polis di seluruh negara, manakala jumlah keanggotaan dalam kalangan Orang Asli dilihat semakin berkurangan.

Katanya, dalam usaha menegakkan undang-undang dan menjaga keselamatan negara, PDRM memerlukan pengorbanan, sumbangan dan penyertaan setiap kaum, tetapi pihaknya menghadapi masalah mendapatkan tenaga kerja dalam kalangan bukan bumiputera sejak 2010 lagi.

Menyedari ketandusan kaum bukan bumiputera dalam pasukan itu, beliau berkata, PDRM mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kita buat beberapa syor dan berbincang dengan pihak JPA. Selepas sekian lama dan banyak kali berunding, JPA merumuskan ia boleh melonggarkan syarat, tetapi mengenakan pula syarat-syarat lain.

“Syarat kemasukan itu dilonggarkan, tetapi selepas menyertai latihan, mereka akan dikenakan syarat lain yang ketat, iaitu dalam tempoh enam tahun masuk polis, mereka wajib lulus peperiksaan seperti yang dikehendaki.”

PDRM sebelum ini membuka pengambilan khas bagi jawatan Konstabel Polis Gred YA1 melibatkan bukan Bumiputera serta jawatan Konstabel Orang Asli Gred YP1.

Untuk pengambilan khas bukan Bumiputera ini, individu yang tidak mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberi kelonggaran untuk memohon, dan selepas diterima, dalam tempoh enam tahun kemudiannya mereka mesti lulus, dan meningkatkan komunikasi serta pemahaman dalam Bahasa Melayu.

Hamid berkata, pemohon yang layak akan melalui pelbagai fasa latihan bersama anggota serta pegawai, selain berinteraksi sesama mereka dalam Bahasa Melayu, dan ini pasti akan memberikan mereka pendedahan penuh kepada Bahasa Melayu, sekali gus menjadikan mereka mampu lulus mata pelajaran terbabit dalam tempoh enam tahun.

Bagi pengambilan Orang Asli pula, beliau berkata, pihaknya turut membuat rayuan kepada JPA supaya melonggarkan syarat berhubung tahap ketinggian mereka.

“Saya minta tahap ketinggian mereka diturunkan lagi (untuk diterima) dan pihak JPA ketika ini berkata, perkara itu akan dipertimbangkan, tetapi berhubung penyertaan bukan Bumiputera dalam PDRM, JPA telah buat keputusan.

“Saya akan pastikan dalam tempoh enam tahun itu, sistem pemantauan akan dibangunkan supaya mereka ini benar-benar mematuhi syarat-syarat JPA, enam tahum mereka mesti lulus, mereka kena berusaha,” tegasnya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker