Aktiviti ‘lompat-melompat’ dijangka berlarutan sehingga tamat darurat, Parlimen bubar

Sebaran :


KUALA LUMPUR : Aktiviti ‘lompat melompat’ dalam kalangan ahli politik kedua-dua blok, Kerajaan dan Pembangkang dijangka akan terus mendominasi landskap negara sehingga tamatnya darurat mahupun setelah pembubaran Parlimen.

Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid berkata, ia termasuk menyaksikan jajaran baharu politik dibentuk, bukan sahaja melibatkan inter party sebaliknya juga melibatkan gabungan parti-parti lain.

“Pada pendapat saya ketika ini, kita akan melihat lebih banyak perubahan akan berlaku sehingga darurat tamat atau pembubaran Parlimen.

“Jadi sekarang kedua-dua pihak sedang berusaha untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing untuk memastikan mereka mempunyai kelebihan apabila berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti,” katanya ketika ditemubual Astro AWANI di sini, pada Ahad.

Namun begitu, Hamidin berkata, melihat kepada kedudukan politik semasa negara, adalah sukar untuk mengukur individu yang akan kekal atau ‘melompat’ menyertai mana-mana parti lain.

Katanya, apa yang sedang berlaku dalam negara dalam tempoh 22 bulan lalu adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam politik negara.

“Kita tercari-cari indikator apa yang akan berlaku seterusnya,” katanya lagi.
Bagaimanapun beliau memberitahu, kajian yang dijalankan oleh Ilham Centre baru-baru ini mendapati, rakyat sudah bosan dengan perjalanan politik negara.

Sebaliknya kata beliau, meskipun mereka mengikuti politik negara, namun tumpuan rakyat kini beralih kepada isu-isu kesihatan seperti vaksinasi dan sebagainya.

Semalam Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar mengumumkan peletakan jawatan Naib Presiden PKR dan keluar parti itu.

Selaras pengumuman untuk keluar PKR yang disertai sejak parti tertubuh pada 1998, bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai Ahli Parlimen Bebas. Awani


Sebaran :

Leave a Reply