Adakah Santhara penduduk tetap New Zealand, tanya Puad

Sebaran :


Santhara di New Zealand: Rakyat Segamat mesti marah, kata Puad

Anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi menyarankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjalankan siasatan mengenai status Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara Kumar Ramanaidu yang bercuti lama dan berada di New Zealand.

Kata Puad seperti orang lain – termasuk Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim – dia juga tertanya-tanya mengenai kedudukan Santhara.

Tanya Puad, mungkinkah Santhara memiliki memiliki status penduduk tetap (PR) di New Zealand sehingga dia perlu berada di negara tersebut untuk tempoh tertentu setiap tahun sebagai memenuhi syarat ditetapkan kerajaan terbabit.

“Adakah Edmund Santhara memiliki taraf PR New Zealand?

“Jika benar adakah dia terpaksa bermastautin setiap tahun di sana dalam tempoh tertentu untuk mengekalkan status PR itu?

“Kalau betul, patutlah dia berdegil tidak mahu balik. Dia perlu duduk di sana dalam tempoh tertentu untuk kekalkan status PR. Itu sebab dapat cuti lama 55 hari,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Santhara merupakah ahli parlimen Segamat di Johor yang memenangi kerusi itu atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun dia menjadi seorang daripada ahli parlimen PKR yang meninggalkan parti itu untuk menyertai langkah Bersatu sehingga menjatuhkan kerajaan PH pada 2020.

Santhara, 49, kemudian dilantik menjadi timbalan menteri selepas terbentuknya kerajaan PN.

Bagaimanapun dia menarik perhatian ramai apabila berada lama di luar negara. Keadaan itu mendorong orang ramai bertanya sama ada tindakan tersebut dibuat sebagai memenuhi syarat ditetapkan Wellington ke atas semua PR mereka.

Puad berkata kerajaan PN juga perlu bertindak dan menjelaskan bagaimana cuti selama itu boleh dibenarkan ke atas Santhara.

Lebih parah, kata Puad, jika cuti berkenaan dipohon – dan diluluskan – untuk memenuhi keperluan agar status PR Santhara dikekalkan kerajaan New Zealand.

“Pada pandangan rakyat kerajaan telah bersubahat.

“Perdana Menteri patut arahkan siasatan, bahkan arah timbalan menteri itu balik segera.

“Rakyat Segamat mesti marah,” katanya. Mk


Sebaran :

Leave a Reply