Wanita jual ketupat tanggung suami, anak

JERANTUT – Biarpun menghidap penyakit hipertiroid, seorang suri rumah, Nor Faizah Moha­mad Hamizam, 29, cekal menyara keluarga dengan menjual ketupat di Kampung Bukit Dinding di sini, sejak tiga tahun lalu.

Wanita itu kini merupakan penanggung tunggal keluarga selepas suaminya, Mohd Zulkarnaen Idham Zaabar, 36, terpaksa berhenti kerja akibat penyakit kencing manis kronik yang mengakibatkan kerosakan saraf.

Malah, Nor Faizah juga perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak bongsu, Nur Ai­ris Maisarah, 2, yang mengalami masalah buah pinggang bocor.

Nor Faizah mempunyai tiga lagi anak berusia sembilan, 10, dan 13 tahun.

Bercerita lanjut, ibu muda itu memberitahu, anaknya dikesan mengalami masalah buah pinggang selepas menjalani pemeriksaan akibat kencing tidak lawas, bengkak kaki dan mata di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, Jun tahun lalu.

“Pembedahan anak melibatkan kos yang agak tinggi, jujur saya tidak mampu membiayai rawatan dan pembedahannya.

“Hasil jualan ketupat pun tidak cukup untuk belanja dapur,” katanya di sini semalam.

Menurut Nor Faizah, selain pemeriksaan rutin di Hoshas, dia juga perlu membawa Nur Airis Maisarah menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Sela­yang, Selangor.

“Sejak tahun lalu, sudah tiga kali Nur Airis Maisarah menjalani rawatan di Hospital Selayang.

Katanya, hasil jualan ketupat di kawasan Bukit Dinding dan bandar Jerantut sememangnya tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan dan perubatan termasuklah menyewa kende­raan dan penginapan.

“Untuk menyediakan keper­luan dapur, persekolahan tiga orang anak dan bayaran bil mencecah lebih RM1,500 sebulan dan adakalanya tidak tertanggung.

“Kami kini menumpang di rumah emak saya. Apapun, saya dan suami reda dan bersabar dengan ujian Allah,” katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh menghulurkan sumba­ngan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Nur Faizah Mohamad Hamizam iaitu 0610541100001386 atau menghubungi talian 013-6958230.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker