Stadium Sultan Ibrahim menang anugerah stadium terbaik seluruh dunia bagi tahun 2020

JOHOR BAHRU: Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menggegar gelombang tempatan dan serantau.

Kini gelanggang tuan rumah – Stadium Sultan Ibrahim bernilai RM200 juta di Iskandar Puteri telah mendapat pengiktirafan global selepas menewaskan 19 stadium lain di seluruh dunia sebagai ‘Stadium Of The Year 2020’ dalam undian awam yang dikendalikan laman web StadiumDB.com berpangkalan di Poland.

Pencapaian itu dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini.



Setiap individu berhak membuat satu undi, memilih lima venue teratas (berdasarkan 5, 4, 3, 2 dan 1 mata) dan berdasarkan hantaran itu, Stadium Sultan Ibrahim yang canggih tersebut mendapat 64,260 mata meninggalkan jauh pesaingnya, Stadium Allegiant di Las Vegas (23,390 mata) dan Stadium Ahmad Bin Ali di Qatar (22,341 mata).

Menurut laman web StadiumDB.com, daripada 21,821 undian untuk Stadium Sultan Ibrahim, lebih separuh sokongan dari Asia Tenggara khususnya Malaysia termasuk negara jiran.

“Di situlah Stadium Sultan Ibrahim membuat gelombang terbesar tahun lalu, menjadi stadium bola sepak terbaik, stadium pertama dibina tanpa trek larian di Malaysia dan sebuah kelab yang semakin menonjol di peringkat antarabangsa,” menurut laman web itu.

Pada 22 Feb tahun lepas, JDT secara rasmi berpindah ke ‘gelanggang baharu’ mereka di Stadium Sultan Ibrahim.



Terletak di kawasan seluas 11.3 hektar, yang juga menempatkan ibu pejabat JDT, Stadium Sultan Ibrahim satu-satunya stadium bola sepak di negara ini yang menggunakan rumput asli Zeon Zoysia, mempunyai sistem pengairan yang mampu mengelak daripada air bertakung di atas padang.

Mampu menampung lebih 35,000 penonton, stadium itu juga dilengkapi dengan lampu sorot LED yang moden serta lampu bangunan pelbagai ritma dan warna.

Stadium Shah Alam dah lama ‘sakit’



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker