MN gesa Putrajaya rayu keputusan bukan Islam dibenar guna kalimah Allah
Muafakat Nasional (MN) menggesa kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah “Allah” oleh orang bukan Islam.
Gagasan itu yang terdiri daripada Umno dan PAS berkata, mereka amat prihatin dengan keputusan orang bukan Islam dibenar menggunakan kalimah Islam dalam penerbitan mereka.
“Kami juga menggesa kerajaan persekutuan mengambil inisiatif menyegerakan pelaksanaan pengharmonian sistem perundangan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Perundingan MN yang dipengerusikan bersama Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man malam tadi.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu memutuskan arahan Kementerian Dalam Negeri pada 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baituallah”, “Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam tidak sah serta tidak berperlembagaan.
Justeru, Hakim Noor Bee Ariffin membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Jill Ireland, penganut Kristian dari Sarawak, menggunakan kalimah “Allah” dalam pendidikan agamanya.
Katanya, arahan KDN itu melampaui tujuan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata, hubungan Umno serta PAS tiada masalah dan berjalan seperti biasa.
Ditanya jika ada kata putus dibuat antara PAS dan Umno, katanya: “Tak ada apa, mesyuarat biasa saja. Kita banyak bincang untuk memperkasa hubungan (MN).
“Kita malam ini bincang dengan MN. Hal PPBM kita bincang dengan PPBM di peringkat nasional. Jadi ‘clearlah’.”
Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dilaporkan berkata, Umno tidak akan memberikan sebarang kata dua kepada PAS berhubung kerjasama parti itu dengan PPBM.
Katanya, PAS berhak bekerjasama dengan PPBM dalam Perikatan Nasional.
Umno sebelum ini memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum ke-15, namun akan mengukuhkan kerjasama dengan PAS menerusi MN.
PAS juga mahu memperkasa MN, tetapi pada masa sama juga ingin memperkukuhkan kerjasama dengan PPBM menerusi PN. FMT
‘Mimpi indah terbuka hati peluk Islam’
You must be logged in to post a comment.