China lancar ‘pasport virus’ pertama dunia

Sebaran :

BEIJING: China melancarkan program sijil kesihatan untuk pelancong domestik, sekali gus mendahului negara lain dalam perancangan mengeluarkan ‘pasport virus’.

Sijil digital itu yang memaparkan status vaksinasi pengguna dan hasil ujian virus pengguna, tersedia untuk warga China menerusi satu program dalam platform media sosial China, WeChat, yang dilancarkan semalam.

Jurucakap Kementerian Luar China berkata, sijil itu diterbitkan bagi membantu menyokong pemulihan ekonomi dunia dan memudahkan perjalanan rentas sempadan.

Bagaimanapun, sijil kesihatan antarabangsa itu hanya boleh digunakan oleh rakyat China sahaja buat masa ini dan penggunaannya belum diwajibkan.

Sijil berkenaan, yang turut tersedia dalam bentuk kertas, dipercayai pasport virus pertama di dunia.

Amerika Syarikat (AS) dan Britain adalah antara yang sedang mempertimbang melaksanakan pengeluaran permit seumpamanya.

Kesatuan Eropah (EU) juga dalam proses menerbitkan ‘pas hijau’ yang akan membenarkan penduduknya melakukan perjalanan antara negara anggota dan keluar negara.

Program dilaksanakan China merangkumi kod QR tersulit yang membenarkan setiap negara mendapatkan maklumat kesihatan pelancong, lapor media agensi Xinhua semalam.

‘Kod QR kesihatan’ dalam WeChat dan aplikasi telefon pintar China lain kini diperlukan untuk dibenarkan masuk ke dalam pengangkutan domestik dan kebanyakan kawasan awam lain di China.

Aplikasi itu mengesan lokasi pengguna dan menghasilkan kod ‘hijau’ jika pengguna tidak menjadi kontak rapat kepada kes positif COVID-19, atau berkunjung ke kawasan penularan virus, namun ia turut mencetus kebimbangan mengenai isu privasi dan pemantauan kerajaan. – AFP


Sebaran :

Leave a Reply