Kalah teruk PRU14, MCA muhasabah, kembali kepada matlamat asal parti

KUALA LUMPUR: Kekalahan teruk pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sehingga menyebabkan kurangnya wakil MCA di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), memberi peluang untuk parti itu kembali kepada hala tuju dan matlamat asalnya, iaitu membangunkan Malaysia untuk semua.

Ketua Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting berkata, berikutan kekalahan itu, MCA yang bermuhasabah diri akan terus memainkan peranannya dalam memperjuangkan keadilan sosial, keharmonian kaum dan pembangunan negara.

“Kami ingin memberitahu rakyat terutama masyarakat Cina, bahawa kami telah mendengar mesej mereka semasa PRU14 pada 9 Mei 2018 dan kami telah muhasabah diri,” katanya hari ini.



Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Agung Pemuda MCA ke-56 yang dirasmikan timbalan presiden Mah Hong Soon dan berlangsung secara hibrid menggabungkan kehadiran fizikal di Wisma MCA serta secara maya.

Pada PRU14, MCA hanya memenangi satu daripada 39 kerusi Parlimen dan dua daripada 90 kerusi DUN yang ditandingi, sekali gus merekodkan kekalahan paling teruk dalam sejarah penubuhannya.

Wong, wanita pertama menggalas amanah ketua Pemuda MCA itu berkata kekalahan pada PRU14 bukan alasan untuk parti menyerah kalah dan percaya MCA yang kini menginjak usia 72 tahun mempunyai harapan untuk memenangi semula hati rakyat.

Nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia tak lagi sesuai digunakan – Kadir Jasin



“Kita semua harus bekerja keras, belajar daripada kesilapan, berani mendekati rakyat, merapatkan jurang antara kita dengan rakyat, mendengar suara rakyat dan prihatin kepada hal ehwal masyarakat serta membantu mereka menyelesaikan masalah,” katanya.

Mengenai pelaksanaan Undi 18 yang memberi hak kepada anak muda berusia 18 tahun memilih kerajaan, Wong berkata langkah proaktif harus diambil Pemuda dengan memastikan maklumat tepat mengenai dasar kerajaan dapat disampaikan kepada kumpulan sasar.

Katanya, menerusi pelaksanaan Undi 18, ia dijangka membabitkan 7.8 juta pengundi baharu di Malaysia.



Sementara itu, Mah ketika merasmikan perhimpunan berkenaan berkata pelaksanaan Undi 18 memberikan peluang, ruang dan suara kepada golongan muda untuk bersama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya.

Persidangan itu dihadiri 322 perwakilan daripada 186 bahagian seluruh negara.

Bersatu ‘blackout’: Hamzah tak layak bercakap – Marzuki



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker