Bersatu ‘blackout’: Hamzah tak layak bercakap – Marzuki

Share

Datuk Marzuki Yahya yang dipertikaikan keahliannya dalam Bersatu mempersoalkan larangan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin terhadap pemimpin dan ahli yang didakwa mempermain atau mengubahsuai logo parti itu.

Merujuk kepada logo Bersatu ‘blackout’, Marzuki berkata Hamzah tidak layak mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana mendakwa anggota parlimen Larut itu terlibat dalam ‘gerakan mengorbankan prinsip asal parti’.

“Bagaimanakah Hamzah boleh mempersoal tentang logo dan lambang Bersatu dipermainkan, sedangkan beliau sendiri terlibat dalam gerakan mengorbankan prinsip asal penubuhan Bersatu?

“Logo Bersatu ‘blackout’ merupakan penzahiran serius bantahan ahli-ahli akar umbi dan salah satu usaha ahli-ahli akar umbi Bersatu yang ingin Bersatu terus dipimpin oleh mereka yang kekal berprinsip dan untuk Bersatu kembali kepada matlamat asalnya.

“Tindakan sebegini tidak menyalahi mana-mana peruntukan Perlembagaan Bersatu, malah sebaliknya ianya adalah tanggungjawab ahli-ahli parti untuk mempertahankan prinsip Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semalam, Hamzah berkata pemimpin dan ahli Bersatu tidak boleh mempermainkan dan mengubah suai logo parti kerana tindakan boleh diambil ke atas mereka.

Beliau berkata logo mana-mana parti yang ditubuhkan adalah satu lambang yang seharusnya dihayati serta dipertahankan setiap ahli, dan bukannya dipermainkan.

Pada 16 Jun, sebilangan penyokong Bersatu yang berpihak kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad melancarkan kempen ‘blackout’ dengan menukar warna logo parti itu kepada hitam putih dan memuatnaiknya di laman media sosial.

Mengulas lanjut, Marzuki menasihati Hamzah supaya meneliti semula tujuan dan matlamat Bersatu ditubuhkan memandangkan bekas pemimpin UMNO itu hanya menyertai parti tersebut selepas ia memenangi PRU bersama gabungan parti Pakatan Harapan yang lain.

“Bersatu ditubuhkan untuk pelbagai matlamat kebaikan bangsa dan negara dan untuk memperkasa agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa untuk mewujudkan amal tadbir urus yang baik dan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti.

“Apabila pengkhianatan dan kerajaan pintu belakang ditubuh dengan mempergunakan Bersatu secara salah maka secara langsung tujuan dan matlamat asal penubuhan Bersatu telah digadaikan,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!