1,555 kes baru, enam lagi korban

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,555 kes baharu COVID-19 dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini meningkat kepada 304,135 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Katanya, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi hari ini iaitu 672 kes atau 43.2 peratus dan daripada jumlah itu 573 kes (85.3 peratus) adalah daripada kluster sedia ada dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 163 kes (10.5 peratus) dan Sarawak dengan 159 kes baharu (10.2 peratus) manakala, 47 kes (3.0 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di dalam penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (24 kes) dan Kluster Tembok Taiping (sembilan kes),” katanya dalam sidang media COVID-19, di sini hari ini.

Kluster lain yang mencatatkan pertambahan kes hari ini ialah Kluster Tembok Pengkalan Chepa (lapan kes), Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok dengan empat kes baharu dan masing-masing satu kes dalam Kluster Tembok Tapah dan Kluster Telok Mas.

Dr Noor Hisham berkata terdapat enam kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 1,141 kes.

Kes kematian itu membabitkan lima warganegara dan seorang warga asing berusia antara 44 hingga 80 tahun yang dikesan di Kuala Lumpur membabitkan tiga kes, masing-masing satu kes di Sabah, Kuala Lumpur dan Perak.

Bagi tujuh kluster baharu yang dilaporkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata enam daripadanya berpunca dari tempat kerja, manakala satu kluster membabitkan golongan berisiko.

Kluster yang dikesan ialah Kluster Taman Alam (Petaling) menjangkiti 23 kes; Kluster Jalan Mawar (Hulu Langat) menjangkiti 10 kes dan Kluster Sementa 27 (Petaling, Klang, Kuala Selangor dan Kuala Langat) menjangkiti 13 kes.

Selain itu ialah Kluster Jalan DPB Enam (Johor Bahru) menjangkiti 36 kes; Kluster Jalan Cyber Satu (Kulai dan Kota Tinggi) menjangkiti sembilan kes; Kluster Persiaran Bayan Indah (daerah Barat Daya, Timur Laut, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang) menjangkiti 25 kes dan Kluster Jalan Bukit Blossoms (Seremban) menjangkiti 18 kes.

Beliau turut memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 2,528 kes sembuh dilaporkan. Ia menjadikan jumlah kes sudah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 278,431 kes.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker