Harap ikan tapah, dapat keli Afrika seberat 13kg

SABAK BERNAM: Seorang pemancing tidak menyangka jaring ikan yang dipasangnya di Kuala Pintu Air Batu 39, di sini, memerangkap keli Afrika bersaiz gergasi seberat 13 kilogram, semalam.

Khairul Anuar Hamid, 55, berkata dia bersama anak lelaki, Abdul Naim, 26, dan seorang rakan turun ke kuala itu dengan menaiki sampan pada jam 8.30 pagi untuk memeriksa jaring.

“Jaring itu dipasang pada jam 4 petang Jumaat lalu. Pada masa sama, kami juga bercadang nak mencari ikan tapah di kawasan itu.

“Semalam, kami turun sekali lagi untuk mengangkat jaring. Alangkah terkejutnya kami apabila mendapati jaring yang dipasang mengena ikan keli besar itu lalu membawanya pulang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sekendi, hari ini.

“Ketika dinaikkan, ikan itu dalam keadaan lemah dan dipercayai tersangkut pada jaring pada sebelah malam.

“Ini kali pertama saya memperoleh keli sebesar itu. Sebelum ini, keli yang pernah saya dapat saiznya kecil sahaja.

“Saya jarang memancing di sungai dan biasanya memancing di pantai. Kebetulan tengah bosan, jadi rakan mengajak saya untuk menjaring,” katanya yang minat memancing sejak sekolah rendah.

Dia berkata, keli Afrika itu kemudian dipotong dan diberikan kepada rakan serta anak-anak.

“Kebetulan anak-anak membakarnya dan mendapati daging ikan itu sedap walaupun saiznya besar berbanding biasa,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker