2 beradik temui ajal sebelum sempat hadiahkan kereta kepada bapa

SEREMBAN: Hasrat dua beradik menghadiahkan sebuah kereta kepada bapa mereka tidak kesampaian apabila si abang, Hafidzan Zainal, 44, maut dalam kemalangan ketika memandu kenderaan berkenaan untuk dibawa pulang semalam.

Lebih menyayat hati, adiknya berusia 39 tahun, Mohd Fauzi Zainal yang memandu sebuah lagi kereta turut menghembuskan nafas terakhir selepas diserang sawan ketika melihat keadaan abangnya di lokasi kejadian di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah Simpang Pertang kira-kira 4.30 petang.

Shah Rizal Zainal, 41, berkata tragedi itu berlaku ketika abang dan adiknya dalam perjalanan dari Felda Pasoh, Jelebu ke Taman Kobena, Senawang selepas selesai urusan pembelian dan ingin menyerahkan kereta jenis Proton Iswara Aeroback kepada bapa mereka, Zainal Sulong, 63.



“Mereka pergi dengan sebuah kereta, ketika pulang, abang yang juga seorang posmen memandu Iswara itu, manakala adik menaiki Perodua Myvi. Bagaimanapun, ketika pulang, kereta abang dipercayai terbabas, adik pula dikatakan terkejut dan pengsan melihat abang berlumuran darah di depan matanya.

“Kedua-duanya sudah lama berhasrat menghadiahkan ayah kereta bagi memudahkan urusan ayah untuk ke mana-mana, tetapi sudah takdir, kereta tidak dapat diguna, malah mereka pula pergi dalam keadaan menyedihkan,” katanya kepada Bernama.

Ketua Polis Daerah Jempol, Hoo Chang Hook berkata, berdasarkan maklumat awal, apabila Fauzi melihat Hafidzan terlibat dalam kemalangan itu, mangsa pengsan dan mulutnya berbuih.

Isteri melacur demi nafsu, wang



Jenazah dua beradik diusung untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang selepas disembahyangkan di surau Taman Kobena hari ini. (Gambar Bernama)

“Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah, bagaimanapun Fauzi disahkan meninggal ketika dalam perjalanan. Pemeriksaan terhadap mangsa juga mendapati tiada kecederaan atau luka luaran yang disyaki unsur jenayah.

“Semakan rekod perubatan juga mendapati Fauzi mempunyai sejarah penyakit sawan. Bedah siasat ke atasnya dijalankan 10 pagi tadi bagi mengetahui punca sebenar kematian.”

Beliau berkata, Hafidzan pula terbabit dalam kemalangan selepas dipercayai hilang kawalan, sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar besi penghadang.



“Mangsa, yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, disahkan meninggal dunia kira-kira 8 malam, selepas lebih tiga jam terlibat dalam kemalangan.

“Proses bedah siasat dijalankan ke atas mangsa pada 9 pagi dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.”

Kedua-dua beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang pada 7 malam.

India temui enam varian koronavirus baharu daripada penumpang dari UK



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker