COVID-19: Saya akan ambil suntikan vaksin Sinovac atau Sputnik V – Khairy

Sebaran :

“Saya sudah buat keputusan semalam, saya akan ambil vaksin yang akan diluluskan seterusnya,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu memutuskan bahawa beliau tidak akan mengambil vaksin jenis Pfizer-BioNTech yang sedang digunakan negara ketika ini.

“Saya tidak akan ambil vaksin Pfizer-BioNTech bukan sebab ia tidak bagus. Pfizer bagus dan ia terbukti selamat dan tiada apa-apa kesan sampingan.

“Biarlah ada juga barisan menteri yang memberi contoh ambil vaksin yang akan datang. Saya juga tidak tahu apa jenis vaksin yang akan diluluskan seterusnya.

“Jadi apa sahaja jenis vaksin diluluskan kerajaan seterusnya, saya orang pertama yang akan ambil (disuntik) vaksin itu. Tidak kiralah ia vaksin Sinovac, Rusia (Sputnik V) atau Astrazeneca,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima bekalan vaksin Covid-19 keluaran Sinovac di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Khairy berkata, beliau membuat keputusan itu selepas meneliti pandangan dan pendapat daripada rakyat selepas melihat beberapa pemimpin negara mula menerima suntikan vaksin jenis Pfizer sejak Rabu lalu.

“Saya melihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, beberapa menteri besar dan barisan hadapan mula menerima vaksin itu.

“Jadi, rakyat sudah yakin dengan Pfizer, (jadi) saya akan ambil vaksin yang akan diluluskan seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, setakat pukul 7 pagi tadi, aplikasi MySejahtera sudah menerima kira-kira 1,183,779 pendaftaran bagi suntikan vaksin Covid-19 oleh rakyat Malaysia.

“Sehingga semalam, seramai 3,580 individu sudah menerima suntikan vaksin sejak ia dilancarkan secara rasmi Rabu lalu,” katanya. – K! ONLINE.


Sebaran :

Leave a Reply