Ordinan darurat berkaitan perumahan pekerja diwartakan

 

KUALA LUMPUR: Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 diwartakan semalam, bagi memperkasa aspek pematuhan penginapan pekerja di seluruh negara dalam usaha mengawal penularan COVID-19 secara berkesan.

Bagi tujuan sama, Kementerian Sumber Manusia turut menggubal dua Peraturan baharu di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, di bawah Ordinan Darurat itu, pemakaian Akta 446 diperluas ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh darurat, berbanding hanya dikuatkuasakan di Semenanjung sebelum ini.

Selain itu, ia turut memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk mengeluarkan arahan kepada pemilik penginapan untuk mengganti, mengubah atau membaik penginapan yang tidak mematuhi Akta 446 dengan serta-merta dari penginapan yang sesak dan tidak sesuai didiami manusia ke penginapan sementara yang ditetapkan jabatan.

“Dalam hal ini, pemilik penginapan akan menanggung semua kos pengangkutan dari penginapan asal ke penginapan sementara, pengangkutan pergi balik ke tempat kerja dan penginapan sementara dan kos sewaan penginapan sementara.

“Pemilik penginapan yang gagal mematuhi arahan ini boleh didenda RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Saravanan berkata, ordinan itu juga memberi kuasa kepada Menteri Sumber Manusia untuk membuat penurunan kuasa Akta 446 kepada pegawai daripada agensi lain.

Sementara itu, melalui penggubalan dua Peraturan baharu di bawah Akta 446, Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja (Pekerja Yang Dikehendaki Disediakan Penginapan) 2021 mewajibkan majikan untuk menyediakan penginapan bagi semua pekerja asing yang digajikan, kecuali pembantu rumah.

“Selain itu, Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja (Pengkompaunan Kesalahan) 2021 membolehkan semua kesalahan di bawah Akta 446 dikompaun,” katanya.

Saravanan berkata, Kementerian Sumber Manusia membentuk Pasukan Petugas Kebangsaan Pematuhan Penginapan Pekerja yang dianggotai 10 kementerian dan agensi lain berdasarkan keperluan.

Katanya, kementerian itu juga bercadang untuk membuat penurunan kuasa Akta 446 kepada pegawai yang terbabit dalam pasukan kerja enam kementerian iaitu agensi di bawah kementerian itu sendiri, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Penguatkuasaan ini mengutamakan 75,000 majikan yang menggajikan pekerja asing dengan tumpuan kepada tiga negeri dengan bilangan pekerja asing tertinggi iaitu Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta tiga sektor dengan kes positif tertinggi iaitu pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

“Daripada 75,000 majikan itu, 3,500 majikan yang mempunyai lebih 100 pekerja akan menjadi fokus utama,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker