Jual mangga untuk sara keluarga

Serdang: “Hanya kerja ini (jual mangga) yang mampu saya buat ketika ini untuk menyara keluarga selepas dibuang kerja sebelum ini,” kata seorang lelaki yang ditahan dalam Operasi Kesedaran Penjaja Jalanan di Bandar Kinrara, di sini, hari ini.

Lelaki berusia 22 tahun itu yang menetap di Seri Kembangan memaklumkan dia mula menjual mangga di persimpangan lampu isyarat di Jalan Kinrara 6, sejak bulan lalu.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai pengawal keselamatan namun sudah diberhentikan kerja. Dengan bantuan abang saya bagi mendapatkan bekalan, saya menjual mangga di kawasan ini.

“Walaupun hanya RM100 diperoleh setiap hari, namun hanya ini kerja yang saya mampu buat ketika ini untuk membantu menanggung perbelanjaan keluarga,” katanya ketika ditemui di lokasi itu.

Lelaki terbabit adalah empat individu termasuk tiga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) berusia antara 21 hingga 27 tahun yang ditahan dalam operasi berkenaan.

Operasi bermula jam 3.30 petang itu dijalankan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kinrara 6 dan Lestari Perdana Seri Kembangan, di sini, selepas didapati menjual buah serta makanan ringan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya menjalankan operasi itu susulan menerima aduan daripada penduduk setempat yang khuatir dengan keselamatan pengguna jalan raya.

“Berikutan aduan itu, kami melakukan tinjauan sejak Ahad lalu bagi mengenal pasti lokasi aktiviti berkenaan dijalankan.

“Hasil tinjauan berkenaan, kami menahan empat lelaki menjalankan aktiviti itu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk mengambil keterangan,” katanya pada sidang media di IPD Serdang, di sini, hari ini.

Razali berkata, pihaknya mengambil pendekatan menasihatkan semua individu berkenaan dan dibebaskan sejurus selepas keterangan diambil.

“Atas perikemanusiaan, kami mengambil pendekatan memberi nasihat kepada mereka bagi fasa pertama operasi ini kerana kita juga faham situasi mereka yang sukar mendapat pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun jika mereka didapati mengulang semula kesalahan itu, kami terpaksa mengambil tindakan mengikut Peraturan 10A(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 bagi kesalahan menjual sesuatu kepada orang di dalam kenderaan di persimpangan jalan atau di atas jalan.

“Malah, individu yang membeli jualan berkenaan juga boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 10A(2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana cuba membeli atau membeli sesuatu semasa berada di dalam kenderaan di persimpangan jalan atau di atas jalan,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai pembabitan pihak lain yang mendorong kepada aktiviti berkenaan, beliau tidak menafikan perkara itu.

“Saya tidak menolak kemungkinan ada individu lain yang mendorong mereka (penjual) melakukan aktiviti berkenaan.

“Disebabkan itu, kami mengambil keterangan individu yang ditahan berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak meneruskan aktiviti seumpama ini yang boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.

“Individu yang mahu menjalankan perniagaan itu secara sah dengan memohon lesen dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya-HM

 

Leave a Reply