Kanak-kanak didera selepas kematian ibu, jadi buruh paksa di kandang haiwan

Sudahlah didera, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun mendakwa menjadi buruh paksa di sebuah kandang haiwan di Banting.

Begitulah nasib malang kanak-kanak berkenaan selepas dipelihara bapa kandung dan ibu tirinya di PPR Air Panas, Setapak selepas kematian ibunya sejak tiga tahun lalu.

Mangsa juga diberhentikan persekolahannya di Segambut selepas kematian ibunya akibat penyakit kencing manis kronik pada Januari 2018.

Mangsa yang ditemui MalaysiaGazette bersama ibu saudaranya di sini hari ini mendedahkan mimpi ngeri yang berlaku kepadanya.

“Bersama saya, sembilan lagi kanak-kanak sebaya saya yang dipaksa kerja di rumah asuhan yang terletak sangat jauh dalam kawasan hutan di Banting tetapi enam kanak-kanak sudah meninggalkan tempat itu kecuali kami.

“Kami kena bangun awal dan mengemas dapur masak kemudian perlu mencuci kandang ternakan lembu, kambing dan sebagainya dan perlu memberikan makanan untuk kesemua haiwan itu.

“Makanan diberikan semasa kerja manakala pada waktu malam kami perlu mengurut kaki pemilik rumah asuhan sebelum ke bilik tidur,” katanya.

MGF15022021_KES-DERA_02_01-scaled
Kanak-kanak yang menjadi mangsa dera bapa kandung dan ibu tirinya diselamatkan emak dan bapa saudaranya semalam sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul tengahari tadi

Kanak-kanak yang masih dalam keadaan trauma dan mengakui sepanjang tinggal di Banting, dia menjadi mangsa dera seperti ditendang dan ditumbuk bapa dan ibu tirinya sejak berusia lapan tahun.

 

Emak saudara mangsa yang hanya dikenali sebagai Vickneswari berkata, selepas kematian kakaknya, anak buahnya itu dijaga sebulan oleh kedua-dua suspek.

Ujarnya,mangsa kemudian dihantar ke rumah asuhan pertama di Setapak oleh bapa kandungnya sebelum dia dan suaminya mengambil mangsa.

Namun sebulan selepas itu, suspek datang mengambil mangsa darinya dan menghantar ke sebuah rumah asuhan kenalan ‘isteri keduanya’ yang disyaki wanita simpanan suspek di kawasan pedalaman di Banting pula.

Dakwa beliau, sejak kematian ibunya, mangsa tidak dihantar ke sekolah dan sentiasa ditendang, ditumbuk oleh ibu tirinya hampir setiap hari di rumah PPR Desa Rejang di sini selain kepalanya dibotakkan serta dicubit menggunakan cili dan garam sehingga seluruh anggota badannya luka dan lebam.

Lebih menyedihkan, Vickneswari mendakwa bapa kandung mangsa juga bersubahat dengan isteri baharunya mendera mangsa dan tidak mengambil kisah langsung mengenai keadaan anaknya yang terjejas secara fizikal dan trauma.

Pada Oktober 2020, katanya, mangsa diambil semula oleh bapa kandung dan ibu tirinya sebelum dihantar ke rumah jagaan seorang guru kenalan rapat mereka untuk sementara waktu.

Malangnya, di situ pula mangsa melalui penderitaan yang teruk kerana ibu tirinya masih menendangnya di perut setiap kali menerima aduan daripada guru yang menjaganya.

“Akibat tidak tahan dengan penderitaan itu, mangsa telah bertindak berani mendapatkan kunci rumah semasa wanita itu tidur di biliknya dan membuka pintu utama serta lari menyelamatkan diri.

“Dia melarikan diri dari rumah itu sekitar jam 4 petang dan berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer sebelum tiba ke rumah saya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Air Panas sekitar 5 petang.

“Kami terkejut selepas mangsa mengetuk pintu sebelum datang memeluk erat  dan menangis minta tolong selamatkannya daripada ibu tiri dan bapanya,” sebak beliau.

Justeru, Vickneswari dan suaminya membuat keputusan untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya melindungi anak saudaranya itu demi menjamin masa depan dan pendidikannya.

Bagi mengelak nyawa mangsa diancam bapa kandung dan ibu tirinya, mereka tampil membuat laporan polis di Balai Polis Sentul pada Isnin dan mahu tindakan tegas polis menahan kedua-dua individu terbabit.

Mereka juga mengesyaki rumah asuhan ‘misteri’ di Banting itu mungkin beroperasi secara tidak sah dan menyalahgunakan hak asasi manusia dengan mengeksploitasi kanak-kanak dengan menjadikan mereka sebagai buruh paksa.

Kini, mereka telah membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan perubatan.-MG

Warga emas durjana rogol anak tiri lebih 50 kali hingga hamil

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker