Dulu ada pihak tak setuju ‘Azizulhasni’ ke Melbourne, tubuh kecil dan tiada potensi…

KUALA LUMPUR: Arena sukan tanah air baru-baru ini disajikan dengan kejayaan jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang menghuni kedudukan teratas ranking dunia bagi acara pecut individu.

Pencapaian atlet berasal dari Dungun, Terengganu itu nyata membanggakan seluruh rakyat Malaysia dan menerima ucapan tahniah pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi pelumba berusia 33 tahun itu termasuklah memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 dan muncul juara dunia keirin pada 2017 membuktikan program latihan jangka panjang yang direncana buat dirinya di Melbourne, Australia sejak 2007 di bawah bimbingan jurulatih, John Beasley nyata memberi pulangan ‘lumayan’.



Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu pemergian ‘The Pocket Rocketman’ ke Melbourne pada awalnya bukanlah mudah kerana mendapat tentangan daripada segelintir pihak termasuk individu yang boleh dianggap pakar dalam sukan berbasikal.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong mendedahkan beliau yang ketika itu baru beberapa bulan memegang jawatan berkenaan dinasihatkan untuk tidak meneruskan rancangan menghantar Azizulhasni ke Melbourne kerana pelumba itu dianggap tidak mempunyai potensi untuk berjaya.

“Waktu itu kami baru melantik Beasley sebagai jurulatih dan dia nampak potensi yang dimiliki Azizulhasni. Jadi, dia mencadangkan untuk menghantar Azizulhasni ke Melbourne kerana ketika itu Australia mendominasi acara keirin dan pecut di peringkat dunia.

“Namun, ada pihak termasuklah yang boleh dianggap pakar dalam sukan berbasikal ini tidak bersetuju. Dia kata jangan buang masa dan buang duit kerana Azizulhasni tidak ada potensi untuk berjaya selain saiz tubuh badannya yang kecil.



“Bagaimanapun, saya yakin dengan perancangan Beasley dan bersetuju untuk menghantar Azizulhasni ke Melbourne di bawah bimbingannya dengan sokongan Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Seri Azalina Othman Said,” kata Zolkples kepada BH Sukan.

Zolkples memuji Beasley yang dianggap menjalankan tanggungjawabnya sebagai jurulatih dengan baik sepanjang membimbing Azizulhasni.

“Beasley ini bukan sekadar jurulatih, dia melayan Azizulhasni seperti anak kandungnya sendiri. Saya sudah bekerja dengan banyak jurulatih luar negara tetapi Beasley adalah yang terbaik dan kedua adalah jurulatih memanah dari Korea Selatan, Lee Jae Hyeung.

“Pada waktu itu saya juga nasihatkan Azizulhasni untuk manfaatkan peluang menjalani latihan di Melbourne sebaiknya. Saya beritahu dia untuk buat apa yang orang Australia buat terutama atlet negara berkenaan.



“Jangan pergi sana sibuk mahu cari nasi dagang atau budu. Soal makanan halal memang bukan masalah kerana Beasley menguruskannya dengan baik sekali. Lagipun, di Australia tidak sukar mahu cari makanan halal…dia hanya perlu fokus kepada latihannya,” katanya.

Berkongsi kenangan manis dengan Azizulhasni sepanjang memegang jawatan Ketua Pengarah MSN, Zolkples, berkata kejayaan pelumba itu memenangi emas acara keirin pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China adalah yang paling tidak boleh dilupakan.

“Kalau masih ingat, pada Sukan Komanwel di New Delhi, India yang berlangsung sebelum itu, Azizulhasni pada awalnya memenangi pingat emas sebelum kemenangan itu ditarik balik kerana pegawai teknikal mendapati kononnya dia berlumba dalam keadaan berbahaya. Mujur masa itu Josiah Ng dapat tempat kedua dan emas masih milik Malaysia.

“Apa yang saya tidak boleh lupa adalah bagaimana Azizulhasni bangkit kembali daripada kekecewaan itu dan dia berjaya memenangi emas keirin pada Sukan Asia selepas itu yang kebetulan saya adalah ketua kontinjen negara,” katanya.



Zolkples berharap kejayaan yang dicapai Azizulhasni itu akan sentiasa menjadi contoh dan ikutan kepada semua atlet terutama atlet muda yang baru meningkat naik yang mana kejayaan tidak boleh dicapai dengan mudah.

“Tiada jalan pintas. Ia memerlukan pengorbanan yang tinggi, disiplin dedikasi serta usaha yang tidak kenal jemu. MSN atau persatuan sukan kebangsaan hanya boleh membantu tetapi yang paling penting atlet itu sendiri yang perlu membuat keputusan apa yang mereka mahukan. Tepuk dada tanya selera,” katanya.

INFO

Nama: Azizulhasni Awang



Nama julukan: The Pocket Rocketman

Tarikh lahir: 5 Januari 1988 (53)

Asal: Dungun, Terengganu

Tinggi: 168cm



Berat: 67kg

Acara: Keirin dan pecut

Ranking dunia: Nombor 1 pecut dan 2 keirin

Jurulatih: John Beasley

Pencapaian:

– Pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 (keirin)

– Juara dunia keirin 2017

– Pingat emas Sukan Asia 2010 (keirin) dan 2018 (pecut)

– Pingat emas Kejohanan Asia 2007 (keirin), 2008 (keirin dan pecut), 2009 (pecut individu dan berpasukan, 2014 (pecut), 2015 (keirin), 2017 (pecut), 2019 (pecut), 2020 (pecut)

– Pingat emas Sukan SEA 2007 (pecut), 2017 (pecut individu dan berpasukan)

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker