[VIDEO] 5 mati terbakar dalam kemalangan di Tanjong Pagar

SINGAPURA: Lima maut dalam kemalangan membabitkan kereta yang turut mengakibatkan kebakaran di Jalan Tanjong Pagar pagi tadi, lapor Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Mangsa yang terkorban dan seorang lagi yang cedera dihantar ke Hospital Besar Singapura (SGH) selepas sebuah kereta dipandu laju terbabas sebelum merempuh bahagian hadapan rumah kedai di jalan berkenaan.

SCDF berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran di 37 Jalan Tanjong Pagar, kira-kira jam 5.40 pagi tadi.

“Kebakaran membabitkan kereta dan bahagian depan sebuah rumah kedai, yang berjaya dipadamkan SCDF menggunakan tiga jet air dan buih udara mampat,” katanya.

“Seorang mangsa dihantar ke SGH kerana melecur apabila cuba menyelamatkan seorang lagi mangsa dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Berdasarkan laporan The Straits Times, kereta terbabit merempuh bahagian hadapan rumah kedai.

Rakan kepada salah seorang mangsa, Akira Chan, 21, memberitahu The Straits Times bahawa seorang daripada mangsa membuka kedai makan Korea yang popular di situ.

“Kami sedang bersedia untuk meninggalkan restoran itu apabila sebuah kereta terbabas dan merempuh bahagian hadapan kedai.

“Tunang salah seorang rakan saya cuba menyelamatkan mangsa terperangkap dalam kereta tetapi mengalami kesan melecur teruk,” katanya.

Menurut laporan The Straits Times, badan mangsa melecur 80 peratus dan kini dirawat di unit kebakaran SGH. – AGENSI

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker