Cabul kakitangan Wanita, Pengarah Agensi Kerajaan Kena Cekup – Laporan

 

Polis menahan seorang pengarah sebuah agensi kerajaan di Selangor selepas didakwa mencabul kakitangan wanita di Pelabuhan Klang Selatan, Klang pada Selasa lalu.

Harian Metro melaporkan lelaki berusia 35 tahun itu dipanggil bagi membantu siasatan sebelum ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, kira-kira 9 pagi tadi.

Laporan itu juga menyebut kejadian cabul dipercayai berlaku pada 2 pagi ketika mangsa berusia 29 tahun berada di pejabat selepas selesai urusan kerja.

Harian Metro memetik sumber berkata suspek kemudian bertindak mengamuk sambil berbaring dan mengarahkannya membuat minuman.

Pegawai kerajaan itu, dilaporkan meminta mangsa mengangkat sumpah dengan al-Quran supaya tidak melaporkan apa-apa perilaku buruk atau jenayah yang dilakukan olehnya.

Suspek, kata sumber turut didakwa ‘mengugut’ akan menukarkan jawatan wanita itu menyebabkan mangsa ketakutan.

“Dalam kejadian itu, suspek dipercayai meminta mangsa membuka tudung dan memicit tangannya atas alasan ia adalah arahan rasmi.

“Mangsa turut disuruh memicit badan lelaki terbabit sebelum mengarahkan wanita berkenaan menanggalkan pakaian dan melayannya sehingga puas,” katanya, lapor Harian Metro.

Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, mangsa enggan dan menolak secara baik, namun ditampar oleh suspek di bahagian muka sehingga terjatuh.

“Suspek juga meminta mangsa melakukan seks oral menyebabkan wanita itu menjerit dan ditampar sekali lagi.

“Malah, suspek turut merekod perbuatan itu menggunakan telefon bimbitnya dan meminta mangsa supaya berdiam diri mengugut akan dikenakan tindakan tatatertib jika melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa,” katanya.

Mangsa kemudian tampil membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Pandamaran untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dipetik Harian Metro mengesahkan tangkapan itu.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Seksyen tersebut memperuntukkan: “Barang siapa menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada mana-mana orang dengan niat hendak mencabul kehormatan atau mengetahui dengan jalan demikian itu mencabul kehormatan orang itu.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai 10 tahun atau boleh dikenakan denda, atau boleh dikenakan sebat, atau boleh dihukum dengan mana-mana dua daripada seksaan tersebut.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker