PDRM siasat anggotanya soal wanita tak pakai coli di SJR

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dua kes yang dialami dua wanita yang mendakwa diganggu anggota polis yang menjalankan tugas Sekatan Jalan Raya (SJR), termasuk satu gangguan seksual.

Dalam kes di Jalan Duta, di sini, seorang wanita mendakwa ditanya oleh anggota polis sama ada dia memakai pakaian dalam atau tidak, selain memberi jaminan tidak akan mengeluarkan saman jika dia menunjukkan sama ada dia memakai pakaian dalam atau tidak.

Dalam satu lagi kejadian di Pulau Pinang, seorang anggota polis menghubungi wanita yang baru diperiksanya ketika melalui SJR dengan tujuan ingin berkenalan.

Pengarah Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya, berkata pada masa ini pihaknya sedang menjalankan siasatan kedua-dua dakwaan berkenaan.

“Pada masa sama, Bukit Aman sudah menghubungi kedua-dua wanita itu bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai anggota yang didakwa mengganggu mereka bagi membantu siasatan JIPS,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Zamri berkata, JIPS akan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya ke atas mereka yang terbabit.

“Kesalahan seperti dinyatakan itu adalah kesalahan tatakelakuan yang serius kerana ia boleh mencemarkan imej PDRM.

“Saya juga ingin mengingatkan bahawa pegawai dan anggota polis yang sedang bertugas perlu bersikap profesional dan tidak membuat sesuatu perkara atau melakukan percakapan yang tidak berkaitan tugas rasmi yang sedang dijalankan,” katanya.

Kedua-dua wanita itu dikesan memuat naik situasi yang dialami ketika melalui SJR menerusi akuan sosial Twitter dan Instagram milik mereka.

Wanita yang hanya dikenali sebagai Sabiyusof, memaklumkan ditahan selepas tidak membawa lesen memandu ketika melalui SJR di Jalan Duta, di sini, ketika dalam perjalanan pulang ke Shah Alam selepas mengambil barang di Wangsa Maju, di sini.

Dia juga turut diminta mengemukakan surat kebenaran untuk pergerakan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun menunjukkan kebenaran itu dalam sistem menerusi dalam talian dalam telefon bimbit miliknya.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan, seorang daripada dua anggota polis yang memeriksanya bertanya soalan sama ada dia memakai pakaian dalam atau tidak, selain turut menawarkan pelepasannya sekiranya dia menunjukkan sama ada dia memakai pakaian dalam atau tidak.

Wanita itu kemudian enggan menuruti permintaan itu dan meminta anggota polis terbabit mengeluarkan saman.-BH

Leave a Reply