Kekuatan UMNO ada pada jentera parti, bukan hanya setakat ‘tayang baju’ – Shahidan

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan bahawa kekuatan parti itu masih lagi luar biasa dengan kewujudan jentera akar umbi yang menjadi nadi keutuhan parti Melayu itu di seluruh negara.

Menurutnya, ianya berbeza dengan beberapa ‘pihak lain’ yang disifatkannya hanya mampu membuat ‘tayangan baju’ dalam program yang dianjurkan.

Jelasnya, atas kekuatan itu, beliau menyatakan bahawa pihak Pas mempunyai keyakinan dan selesa untuk bersama UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) terutama di negeri Perlis dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15) yang difahamkan akan diadakan selepas keadaan wabak COVID-19 di Malaysia semakin baik.

Tambah Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau, jentera MN di negeri itu akan terus bergerak ke hadapan meskipun wujud beberapa masalah kecil sebelum ini seperti pendaftaran secara rasmi membabitkan kerjasama antara Pas dan UMNO.

“Yang paling penting, Pas masih yakin dengan UMNO, dan Pas rasa selesa untuk kerja dengan UMNO sebab UMNO ada jentera.

“Kalau kita nak buat majlis di sini, kita tidak beritahu orang luar untuk buat majlis, kita ada kekuatan kita sendiri, kalau nak buat di kampung, kita ada kekuatan sendiri, dan Pas tahu ini kekuatan UMNO yang luar biasa, di semua tempat kita ada UMNO tetapi orang lain, banyak orang sama buat di Padang Besar, buat di Kangar di Arau, itu bukan kekuatan, itu hanya pergi tayang baju sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Jamuan Pandu Lalu Tahun Baharu Cina 2021 anjuran MCA Bahagian Arau di Tokong Cina Jejawi pada Sabtu.

Dalam pada itu, Shahidan menyatakan bahawa kekalahan UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu adalah bukan disebabkan kelemahan jentera parti sebaliknya persepsi buruk yang dimainkan pihak Pakatan Harapan (PH).

Perlis memiliki tiga kerusi Parlimen yang mana dua daripadanya dimenangi oleh calon daripada parti UMNO iaitu Arau dan Padang Besar, manakala kerusi Parlimen Kangar dimenangi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), UMNO memiliki komposisi kerusi tertinggi dengan sembilan kerusi DUN, diikuti PKR dengan tiga kerusi, Pas ( dua kerusi DUN) dan MCA (satu kerusi DUN).-Awani

Sokong Anwar, Shahidan buat laporan polis

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker