Masyarakat Tionghua akur, sambut Tahun Baru Cina dalam suasana norma baharu


Tahun Baru Cina kali ini disambut dalam suasana norma baru, disebabkan dunia dan negara ini masih diselubungi penularan Covid-19.

Walaupun tidak dapat merayakan Tahun Baru pada tahun ini, perkara paling utama dititiberatkan oleh kerajaan ialah semua orang sihat dan dijauhi dari wabak itu, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau bagaimanapun berkata, akan datang, selepas wabak pandemik Covid-19 berakhir, penganut Buddha masih mempunyai banyak Tahun Baru Cina untuk disambut dalam suasana meriah seperti sebelumnya.

“Saya berharap pada masa itu, kita akan pulang bersama-sama untuk meraikan Tahun Baru.

“Saya menghargai ramai netizen, terutamanya masyarakat Tionghua yang meninggalkan mesej memaklumkan mereka sanggup meraikan Tahun Baru Cina di tempat mereka bermastautin sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19.

“Mereka sanggup tidak pulang ke kampung halaman agar tidak membawa virus balik ke kampung dan menjangkiti kumpulan yang berisiko tinggi seperti ibu bapa, datuk dan nenek,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19, hari ini.

Justeru, beliau berharap semua mereka mematuhi SOP ditetapkan, dengan menjaga kawalan kendiri, penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka bagi mengelak penularan virus itu.

Kata beliau, seperti waktu musim perayaan sebelum ini, polis akan mengawal ketat pematuhan SOP termasuk di kawasan kejiranan dan perumahan.

“Jadi, patuhi SOP agar tiada siapa dikenakan tindakan dan mematuhi SOP bukan hanya untuk mengelakkan daripada disaman, tetapi untuk kepentingan diri sendiri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, lokaliti Bandar Raub Perdana, Raub, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok hingga 25 Februari ini.

Ini menurutnya, berikutan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati, situasi Covid-19 di lokaliti itu merekodkan 75 orang disahkan sebagai kontak rapat kepada kes positif wabak berkenaan.

“KKM telah mengambil 40 sampel PCR dan daripada jumlah itu 35 negatif, manakala lima lagi masih menunggu keputusan. Saringan bersasar terhadap baki kontak rapat sedang dilaksanakan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Bandar Raub Perdana, Raub, Pahang selama dua minggu mulai jam 12.01 tengah malam ini,” katanya.

Berhubung ingkar arahan SOP, Ismail Sabri menyatakan, seramai 575 individu ditahan semalam atas kesalahan.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 532 individu telah dikompaun, 39 individu direman, manakala empat dijamin.

“Begitu juga Operasi Benteng kawalan sempadan negara semalam, seramai 37 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditangkap dan pihak berkuasa merampas enam kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.

“Dalam operasi itu juga, sebanyak 126 bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan,” katanya. MG

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker