[VIDEO] Ebit Lew Datang Membantu Bina Semula Rumah Mohd Yazid Yang Terbakar

KOTA BHARU – Tiga beradik termasuk seorang daripada mereka merupakan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan mampu menarik nafas lega apabila usahawan dan sukarelawan terkenal, Ustaz Ebit Lew (Ebit Lew) telah tampil membantu membina semula rumah mereka dengan kos sebanyak RM70,000.

Ini kerana, tiga beradik itu, Khairuzaman Mohd. Nor, 39, Fakhru Razi, 36, dan adik bongsu mereka yang buta kedua-dua belah matanya, Mohd. Yazid,30, hilang tempat berteduh apabila rumah mereka di Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa di sini musnah dalam kebakaran semalam.

Selain membina semua rumah pusaka keluarga mereka, Ebit Lew turut menyumbangkan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss untuk menggantikan motosikal roda tiga milik Mohd. Yazid yang terbakar dalam kejadian itu.

Menurut Ebit Lew, beliau berharap motosikal yang diberikan kepada Mohd. Yazid dapat digunakan untuk lelaki itu untuk meneruskan pekerjaannya sebagai pemotong rumput.

“Selepas saya melihat gambar Mohd.Yazid termenung di tangga rumahnya yang musnah dalam kebakaran, saya terus bergegas ke Kota Bharu.

“Apabila tiba di tempat kejadian, saya berjumpa dengan keluarga berbincang keperluan yang diperlukan oleh tiga beradik itu, ” katanya ketika ditemui Kosmo! di tapak rumah tiga beradik itu hari ini.

Sewaktu mengadakan lawatan, Ebit Lew turut bersama-sama menaiki jentolak ketika kerja-kerja membersih tapak kebakaran sedang dilakukan untuk tujuan pembinaan semula rumah itu yang dijangka bermula esok.

Menurut Ebit Lew, beliau telah melantik seorang kontraktor untuk membina sebuah rumah tiga bilik dan dua bilik air untuk keselesaan ketiga-tiga beradik itu.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, Mohd. Yqzid masih belum dapat menerima kenyataan bahawa rumah pusaka milik keluarganya musnah dalam kebakaran di Kampung Pangkalan Nangka, Pengkalan Chepa di sini semalam.

Mohd. Yazid yang buta kedua-dua belah matanya itu masih duduk di hadapan rumahnya sehingga hari ini malah tidak henti-henti mengalirkan air mata mengenangkan keadaan itu.

Terdahulu, kejadian yang menimpa Mohd. Yazid dan dua abangnya tular di media sosial apabila rumah mereka hangus dan kebakaran itu menyebabkan kediaman mereka hanya tinggal bahagian tangga dan bilik air sahaja.

 

Lebih menyedihkan, gambar Mohd. Yazid yang sedang duduk di atas tangga rumahnya sambil menangis kerana dia beranggapan rumah itu masih ada turut tular sejak semalam.-K!ONLINE

[VIDEO]”Ramai Tanya Saya, Siapa Tuhan..”- Ustaz Ebit Lew Terharu, 1 Kampung Serentak Ucap Syahadah Depannya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker