Hanya parti tempatan Sarawak sahaja bertanding pada PRN nanti – Karim
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan berunding dengan parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dalam meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana parti komponenan dari Semenanjung tidak sewajarnya bertanding pada PRN Sarawak.
Malah tegasnya, GPS juga tidak berhasrat untuk melebarkan sayap ke Semenanjung dan Sabah walaupun gabungan itu menyokong kepimpinan PN di peringkat persekutuan.
“Kalau boleh parti-parti yang bukan berasal dari Sarawak sama ada yang bersama kita atau tidak, jangan masuk ke Sarawak (bertanding).
“Biar parti politik yang berasal dari Sarawak menjaga negeri ini,” katanya pada sidang media selepas majlis Belia Prihatin di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur 2 pada Selasa.
Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak menjelaskan, parti-parti dari Semenanjung seperti UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP dan PKR seharunya lebih fokus kepada negeri lain berbanding hasrat untuk bertanding di Sarawak.
Selain itu, Abdul Karim melihat pilihan raya tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat kerana negara masih menjalani perintah darurat sehingga 1 Ogos ekoran COVID-19.
Mengulas mengenai ketidakstabilan politik di negara ketika ini, beliau berkata ia perlu diakhiri dengan menyerahkan semula mandat kepada rakyat-Awani
Tiada cara elak PRN Sarawak, kata Abdul Karim