Hanya 730 hektar diguna untuk dusun durian – MB Kedah



Sebaran :

ALOR SETAR: Rekod terkini menunjukkan hanya kira-kira 730ha (1,800 ekar) hutan di Kedah dijadikan dusun durian, kata Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor, susulan beberapa dakwaan mengenai dusun “Musang King terbesar” di dunia yang sedang dibangunkan di daerah pedalaman Baling dan Kulim.

Sebuah video tidak bertarikh yang tersebar menunjukkan seorang lelaki mendakwa kawasan Gunung Inas akan bertukar menjadi “dusun durian terbesar” seluas 30,000 ekar tidak lama lagi, dengan 500 anak pokok Musang King sudah ditanam.

Sanusi berkata, walaupun terdapat maklumat sekitar 30,000 ekar tanah sedang dibersihkan, pihak berkuasa negeri tidak pasti jika semua tanah itu terdiri daripada dusun durian.



Katanya, siasatan sedang dilakukan untuk memastikan angka terkini. Rekod terbaru di Jabatan Perhutanan Kedah menunjukkan hanya 5% atau 15,380ha hutan di negeri ini dibenarkan untuk dibangunkan menjadi hutan pertanian (ladang hutan).

Beliau berkata, hanya 20% atau 3,076ha daripada 5% kuota ladang hutan itu dibenarkan untuk aktiviti penanaman durian oleh kerajaan Kedah terdahulu sebelum Mei 2020.

Katanya, daripada tanah seluas 3,076ha itu, kira-kira 730ha ditukar menjadi dusun durian, kebanyakannya di Gunung Inas, tenggara Kedah.



“Mengenai sebuah video yang tular itu, saya difahamkan ia adalah video lama, sebelum saya mengarahkan projek itu dihentikan Julai tahun lalu. Saya tidak tahu siapa orang-orang dalam video itu, atau jika syarikat mereka dibenarkan untuk membangunkan ladang hutan.

“Saya tidak tahu mengapa video itu disebarkan lagi. Tetapi, saya telah meminta laporan terperinci dan terkini, serta tindakan lanjut akan diambil selepas itu,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kronologi pembangunan Gunung Inas, Sanusi berkata, kawasan yang dibersihkan pada 2007 dimulakan sebagai projek “penanaman hutan gantian” oleh Kedah Agro Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Menteri Besar, dengan sebuah syarikat usaha sama lain yang tidak dinamakan.



Semasa PAS mengambil alih kerajaan Kedah pada 2008, projek itu diteruskan syarikat berkaitan kerajaan negeri, Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd. Balak yang dihasilkan di hutan itu diserahkan kepada Jabatan Perhutanan negeri untuk dijual menerusi tender terbuka.

Pada 2012, kawasan itu ditukarkan menjadi projek getah klon balak (TLC), seluas 400 ekar dalam fasa pertamanya sebagai sebahagian projek Ladang Rakyat. Dividen daripada hasil pertanian TLC kemudiannya diagihkan kepada 300 penduduk miskin di Baling dan kawasan sekitarnya, kata beliau.

Sanusi berkata, ketika kerajaan negeri bertukar tangan kepada Barisan Nasional pada 2013, projek Ladang Rakyat dihentikan dan projek TLC diserahkan kepada syarikat lain.



Beliau berkata, projek TLC kemudian dibatalkan untuk memberi laluan kepada penanaman durian Musang King dan daripada hutan pengeluaran seluas 12,355 ekar yang diluluskan sebelum itu, kawasan yang dibersihkan itu diperluas kepada 30,000 ekar menjelang 2019.

Katanya, syarikat yang diberikan projek itu pada 2013 kemudiannya menjual hak mereka di ladang berkenaan kepada syarikat lain.

Pada 2019, beliau berkata, banyak kejadian banjir kilat dan lumpur yang menjejaskan penduduk di bawah lembah bukit itu.



Katanya, selepas mengambil alih jawatan menteri besar pada Mei tahun lalu, beliau mengarahkan syarikat itu menghentikan semua dusun durian di sana.

Sejak itu, beliau berkata, syarikat terlibat dalam penanaman durian diberikan perintah tegas untuk menanam semula pokok di kawasan yang dibersihkan bagi mengurangkan hakisan tanah.

“Pendirian kami jelas, semua undang-undang harus dipatuhi. Projek ladang hutan seperti ini tertakluk kepada peraturan di bawah Jabatan Perhutanan, yang hanya membenarkan 20% daripada ladang tersebut memiliki pokok buah-buahan.



“Pada waktu itu, dalam Julai tahun lalu, 2,000 ekar sudah ditanam dengan pokok Musang King.”


Sebaran :


Leave a Reply