24 NGO gesa kerajaan Kedah tolak pelan tambak laut dalam projek Langkawi RM40 bilion


Sekumpulan NGO menggesa kerajaan Kedah tidak meluluskan projek penambakan laut besar-besaran bernilai RM40 bilion di Langkawi yang akan mengancam ekosistem marin dan mata pencarian nelayan pantai.

Kumpulan 24 NGO itu menulis surat kepada Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi untuk memprotes projek penambakan bernilai RM40 bilion melibatkan kira-kira 2,000 ekar (800ha) di kawasan pantai barat itu.

Kumpulan itu, yang diketuai Sahabat Alam Malaysia (SAM), membuat bantahan pada 2 Feb lalu, selepas pihak berkuasa tanah di Kedah berkata, mereka akan meluluskan projek tersebut sekiranya tiada bantahan.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, masih terlalu awal pada tahap ini bagi mana-mana pihak berkuasa membenarkan kerja penambakan kerana ia memerlukan kelulusan penting terlebih dahulu.



Katanya, sebelum kerajaan negeri memberi kebenaran, pemaju perlu mendapatkan kelulusan daripada Majlis Perancangan Fizikal Nasional (MPFN) dan menyediakan laporan penilaian kesan sosial serta alam sekitar yang relevan.

“Pada pandangan kami, undang-undang tersebut wajib dipatuhi dan penglibatan awam perlu dilakukan kerana projek penambakan laut dengan keluasan yang sedemikian rupa tentunya akan memberikan impak negatif ketara kepada alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

Meenakshi berkata, SAM sentiasa membantah projek penambakan dan dalam kes Langkawi ini, timbul kebimbangan berhubung impak besar ke atas ekosistem marin dan mata pencarian nelayan pantai.

Katanya, analisa faedah dan kos perlu dilakukan untuk melihat sejauh mana ia akan menjejaskan kewangan dan ekonomi Kedah dalam jangka panjang, serta rundingan awam yang sewajarnya harus dibuat terlebih dahulu.



“kita mesti mengambil iktibar daripada projek penambakan laut besar-besaran yang gagal di negara lain seperti Timur Tengah.

“Sekiranya permohonan ini dibenarkan tanpa pematuhan proses undang-undang dan penglibatan orang awam, tindakan tersebut boleh dianggap penyalahgunaan kuasa dan salah di sisi undang-undang.”

Kerajaan Kedah bekerjasama dengan Widad Business Group Sdn Bhd dalam sebuah projek membangunkan 800ha di Padang Mat Sirat di Langkawi. Kira-kira 90% daripadanya melibatkan pembentukan sebuah pulau buatan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Projek ini, Widad@Langkasuka, disebut-sebut sebagai mempunyai nilai pembangunan kasar RM40 bilion sebaik saja disiapkan, dengan pembangunan mewah seperti hotel, pejabat dan menara perniagaan, kompleks beli-belah, hospital dan universiti. FMT



https://mykmu.net/2017/04/21/individu-misteri-di-sebalik-projek-tambak-laut-di-pulau-pinang/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker