WHO gesa pengeluaran vaksin COVID-19 ditingkatkan besar-besaran

 

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. – Foto AFP

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa pengeluar vaksin supaya berkongsi teknologi bagi membantu melonjakkan kadar penghasilannya dalam perjuangan memerangi COVID-19.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberi amaran bahawa kemajuan usaha mengekang wabak itu dikhuatiri terjejas sekiranya akses terhadap vaksin berkenaan tidak dipertingkatkan.

Hingga kini, katanya, jumlah vaksin COVID-19 yang diberikan sudah melebihi lebih 100 juta jangkitan dilaporkan di seluruh dunia.



Walaupun ia adalah perkhabaran baik, beliau menzahirkan kebimbangan berikutan lebih tiga per empat vaksin itu diberikan di 10 negara berpendapatan tinggi sahaja.

“Sesetengah negara sudah memvaksin sebilangan besar populasi mereka yang berisiko rendah untuk mengalami penyakit kronik atau kematian.

“Pada masa sama, hampir 130 negara dengan 2.5 bilion penduduk, masih belum memberikan sebarang dos,” katanya kepada pemberita, semalam, tanpa memperincikan contoh secara khusus.

Program COVAX yang disokong WHO dengan sasaran memastikan akses saksama kepada vaksin COVID-19 di seluruh dunia, dijangka memulakan penghantarannya pada akhir bulan ini.



Namun, Tedros memberi amaran bahawa pengedaran vaksin secara tidak seimbang ketika ini mencetuskan risiko terhadap kemajuan usaha melawan pandemik berkenaan.

“Melainkan kita mengekang virus itu di serata tempat, kita berkemungkinan boleh kembali ke titik permulaan,” katanya.

WHO rayu dunia bersatu perangi Covid-19



Justeru, beliau menggesa negara supaya berkongsi vaksin selepas masing-masing selesai memberikannya kepada petugas kesihatan dan warga emas.

Pada masa sama, Tedros menegaskan, pengeluar vaksin juga bertanggungjawab untuk memainkan peranan lebih besar.

“Ada keperluan untuk meningkatkan pengeluaran secara besar-besaran,” katanya sambil menyarankan beberapa langkah boleh diambil bagi mempertingkat penghasilan vaksin berkenaan.

Antaranya, mengeluarkan lesen tidak eksklusif bagi membenarkan pengeluar lain menghasilkan vaksin mereka – langkah yang pernah dilakukan sebelum ini bertujuan memperluas akses kepada rawatan HIV dan Hepatitis C.



Sehubungan itu, Tedros memuji syarikat seperti Sanofi dan Novartis yang memaklumkan kesediaan menggunakan infrastruktur mereka untuk membantu menghasilkan vaksin Pfizer-BioNTech, sekali gus meminta syarikat lain mencontohi langkah berkenaan.

Beliau turut menggesa perkongsian data dan teknologi secara sukarela bagi membolehkan ‘penggunaan segera kapasiti pengeluaran yang belum dicapai serta membantu membina pangkalan pengeluaran tambahan, khususnya di Afrika, Asia dan Amerika Latin’. – AFP

Ikut Korea Selatan, buat saringan besar-besaran – Najib



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker