WHO rayu dunia bersatu perangi Covid-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu menyeru perpaduan global memerangi koronavirus, berikutan serangan Presiden AS Donald Trump mengenai cara agensi antarabangsa itu menangani pandemik.

Ketika WHO bersiap siaga hari ini untuk menghadapi hari ke-100 sejak wabak terbabit dikesan di China, ketua pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus, tampil membalas tuduhan bahawa ia terlalu rapat dengan Beijing.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu pernah dikritik bertindak berlebihan mahupun terlalu lembap dalam menangani epidemik sebelum ini, namun ia jarang berdepan sebegitu banyak bidasan seperti ketika pandemik Covid-19.

Trump pada Selasa menuduh WHO mengambil tindakan salah dan terlalu lambat, selain menerima dana daripada AS, tetapi memihak kepada China.



Koronavirus baru itu yang pertama kali muncul di China pada Disember, mengorbankan lebih 80,000 orang, sementera lebih 1.4 juta orang diuji positif virus itu.

“WHO benar-benar membuat kesilapan besar. Atas sebab tertentu, sebahagian besar dana dibiayai oleh AS, tetapi sangat berpusatkan China. Kami akan meneliti perkara itu,” katanya menerusi Twitter.

“Mujur saya menolak nasihat mereka untuk terus buka sempadan kami kepada China pada peringkat awal. Mengapa mereka memberikan saranan salah seperti itu?”

Imej beg mayat



Tedros tegas mempertahankan pengurusan WHO dalam pandemik itu, sekali gus menggesa AS berganding bahu dengan China dalam memerangi penyakit berkenaan daripada bersikap menuding jari.

“AS dan China harus bekerjasama dan melawan musuh berbahaya ini,” kata Tedros dalam satu taklimat media secara maya di Geneva.

“Semua parti politik sepatutnya fokus menyelamatkan rakyat mereka. Tolong jangan politikkan virus ini.

“Jika anda tidak mahu semakin banyak beg mayat, maka hindarkan diri daripada mempolitikkannya. Ia seperti bermain dengan api.”



Memetik jumlah kematian dan bilangan jangkitan, Tedros berkata: “Demi tuhan.. adakah ini tidak mencukupi?”

Serangan peribadi

WHO dianggap terlalu cemas ketika berdepan epidemik H1N1 pada 2009, tetapi 5 tahun kemudian, ia didakwa lambat bertindak dalam menangani wabak Ebola di Afrika Barat yang mengorbankan lebih 11,000 nyawa.

Kini agensi itu dituduh berlengah dalam memberikan amaran berhubung Covid-19 kerana bimbang menyinggung Beijing, menunggu terlalu lama sebelum mengisytiharkan wabak itu sebagai pandemik global dan gagal menyelaraskan tindak balas bersepadu antarabangsa.



Ketika ini, Tedros mengadakan sidang media secara maya sebanyak 3 kali seminggu sebagai langkah telus berhubung cara WHO menangani pandemik itu.

Semalam, bekas menteri kesihatan dan menteri luar Ethiopia itu bersuara untuk kali pertama mengenai serangan peribadi ditujukan kepadanya, termasuk kecaman berbaur perkauman serta ancaman bunuh ketika krisis itu.

“Saya tidak ambil peduli langsung,” kata Tedros.

“Saya amat bangga menjadi orang kulit hitam atau negro. Saya tidak peduli walaupun dipanggil negro, saya memang negro.



“Apabila seluruh masyarakat kulit hitam dihina, apabila Afrika dihina, maka saya tidak bertolak ansur,” katanya merujuk cadangan daripada 2 saintis minggu lalu, mengenai kesesuaian rantau terbabit sebagai lapangan pengujian vaksin.

Sokongan bintang ternama

Lewat Rabu, beliau menulang hantar pesanan sokongan peribadi yang diterima daripada Kesatuan Afrika dan presiden Afrika Selatan, Nigeria serta Rwanda.

Setiausaha agung PBB, Antonio Guterres, turut memberi sokongan dengan menegaskan bahawa sekarang bukan masa untuk mengkritik tindak balas awal terhadap wabak itu.



“Sekarang adalah masa untuk perpaduan dan masyarakat antarabangsa berganding bahu dalam solidariti bagi menghentikan virus ini serta kesannya yang membawa kehancuran,” katanya dalam satu kenyataan.

Tedros turut menerima sokongan daripada beberapa selebriti ternama AS seperti Lady Gaga.

Beliau bekerjasama dengan penyanyi terkenal itu untuk melancarkan konsert mega kesedaran koronavirus dalam talian dinamakan “One World: Together at Home” yang turut menampilkan ikon muzik seperti Paul McCartney dan Stevie Wonder.

Tedros memberi amaran, pandemik COVID-19 akan menjadi lebih buruk jika seluruh dunia tidak bersatu memerangi penularannya.

“Marilah berjuang habis-habisan untuk membanteras dan mengawal virus ini.

“Jika tidak, dengan cara kita bertindak sekarang, saya fikir kita akan menyesalinya.”

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker