Guna wang moratorium beli panel solar untuk rumah
PENANGGUHAN pembayaran peminjam sewa beli dan pembiayaan atau moratorium berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu memberi kelegaan kepada banyak pihak.
Ada yang mengambil peluang penagguhan tersebut bermula pada April 2020 dengan membuat simpanan untuk kegunaan lain.
Antaranya pasangan suami isteri Prof. Madya Ts. Juhari Ab. Razak, 59 dan isterinya, Dr. Norida Abdullah, 57 yang menggunakan wang moratorium yang sepatutnya untuk membayar pinjaman rumah untuk membeli dan memasang panel solar.
Kedua-dua pasangan yang bertugas di instutusi pendidikan tinggi itu memasang 16 panel solar berkuasa 5 kilowatt di atas bumbung rumah mereka daripada syarikat Gading Kencana Sdn. Bhd. pada November tahun lalu.
Kos keseluruhan bagi pemasangan solar panel itu berjumlah RM27,000.
“Jadi kebetulan bila kena Perintah Kawalan Pergerakan ini adalah duit lebihan yang kita simpan daripada moratorium. Lebih kurang RM3,000 sebulah.
“Jadi kita putuskan untuk guna duit yang dikumpul itu untuk pelaburan jangka panjang dengan memasang panel solar bagi penjimatan bil elektrik,” kata Juhari yang merupakan Pengarah Pejabat Keselamatan Pekerjaan dan Kelestarian Alam Sekitar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTem).
Rumah teres dua tingkat milik pasangan itu terletak di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka dan mempunyai lima bilik tidur dengan penggunaan elektrik yang tinggi.
Setiap bilik mempunyai alat pendingin hawa selain peralatan elektrik yang lain. Rumah itu juga mempunyai kolam buatan siap air terjun mini menggunakan pam air yang berfungsi selama 24 jam sehari.
Menurut Dr. Norida yang merupakan Ketua Jabatan Pengajian Korikulum Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan, kadar penggunaan elektrik meningkat dengan ketara ketika pelaksanaan PKP.
Ahli keluarga duduk di rumah selama 24 jam kerana bekerja dari rumah dan tidak dapat hadir ke kuliah dan ke sekolah.
“Saya tegaskan ada peralatan elektrik yang kita boleh pakai, maka kita mesti pakai. Macam caj telefon. Cuma dari segi pembaziran contoh macam alat pendingin hawa kalau tak pakai dia kena tutuplah.
“Kalau kita nak kata benda tu tak boleh, nak jimat elektrik. Susah juga. Kita punya gajet semua nak pakai elektrik. Peralatan elektrik lain. Jadi baguslah dengan pemasangan solar ini,” katanya.
Menurut mereka bayaran bil elektrik berkurangan dengan drastik selepas pemasangan panel solar.
Kebiasaan mereka perlu memperuntukan antara RM500 ke RM600 sebulan bagi bil elektrik. Namun sejak pemasangan panel solar bil menurun sehingga RM400 sebulan.
Sementara itu, Juhari berkata, kos pemasangan panel solar pada waktu ini lebih murah berbanding 10 tahun lalu.
“Kalau dulu pada tahun 2010, 2011 ketika saya buat kajian, pada masa itu 1 kilowatt adalah antara RM10,000 hingga RM11,000.
“Bermakna makna kalau saya pasang 16 panel solar berkuasa 5 kilowatt pada masa itu lebih kurang RM50,000 ke RM70,000 ribu.
“Kalau kita lihat sekarang ini RM27,000. Dalam masa 10 tahun telah kurang lebih separuh,” kata pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTeM.
Kedua-dua pasangan tersebut sebenarnya telah lama menyimpan hasrat untuk memasang panel solar bukan sahaja kerana faktor penjimatan bil elektri tetapi juga kerana ia dapat membantu kelestarian alam sekitar.
Mereka berharap pihak kerajaan boleh menyarankan pihak bank untuk menyediakan ‘pinjaman hijau’ kepada pengguna khusus bagi pembelian dan pemasangan panel solar bagi kegunaan kediaman.
“Sebab kita lihat, pinjaman peribadi itu mudah dan senang. Tapi bila kita buat pinjamaan untuk tujuan menyelamatkan alam sekitar seperti pemasangan solar agak sukar.
“Katakanlah macam saya perlukan RM27,000 untuk pasang solar, dia kata nak kalau nak pinjaman peribadi adalah lebih mudahlah. Sebab prosedur itu sudah ada.
“Sekarang sudah ada skim NEM (Pemeteran Tenaga Bersih) 3, saya rasa perlu ada skim pinjaman hijau yang telus, yang mana orang ramai boleh ambil bahagian bagi menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” kata Juhairi.
Untuk keterangan lanjut langganan panel solar boleh layari laman web https://solarrakyat.com/ -SM
You must be logged in to post a comment.