Annuar Musa Saran Mesyuarat Agong UMNO Disegerakan
Anggota Parlimen Ketereh Annuar Musa tidak memberi jawapan jelas sama ada dia akan mengambil bahagian dalam pemilihan Umno akan datang atau tidak.
Ia berlaku ketika sesetengah pemimpin kanan Umno menunjukkan rasa tidak senang mereka kepada Annuar, khususnya sejak akhir-akhir ini.
Malah beberapa pemimpin kebangsaan Umno secara terbuka mengecam menteri Wilayah Persekutuan itu di media sosial.
Annuar tidak dapat memberikan komitmen sama ada bertanding atau tidak kerana tarikh pemilihan Umno sendiri belum ditetapkan bila akan berlangsungnya.
Sambil menyarankan agar mesyuarat agung tahunan parti itu disegerakan Annuar berkata dia berpendapat ia penting agar Umno dapat bersiap sedia bagi pilihan raya umum (PRU) ke-15.
“Saya tidak dapat jawab soalan itu kerana Umno belum memutuskan bilakah pemilihan akan berlaku.
“Cuma kita mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti, khususnya presiden dalam wawancara sebelum ini yang bersetuju untuk menunaikan apa yang terdapat dalam perlembagaan parti iaitu pada tahun ini akan menyerahkan semula kepada ahli-ahli untuk pemilihan,” katanya.
Kena selesaikan cepat
Bekas setiausaha agung Umno dan BN itu juga berpendapat pendirian berkenaan wajar dialu-alukan supaya tidak timbul lagi polemik letak jawatan dan sebagainya dibangkitkan.
“Saya fikir kita kena semarakkan semula semangat parti dan hormati perlembagaan parti dan amalan demokrasi,” ujarnya.
Untuk rekod Annuar diserang sesetengah pemimpin Umno khususnya ketika parti berkenaan terus mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin adalah bekas timbalan presiden Umno yang dipecat parti itu. Dia bersama beberapa tokoh lain kemudian menubuhkan Bersatu. Selepas PRU ke-14 dan membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) sejumlah ahli parlimen Umno menyertai Bersatu dan membawa kepada rasa tidak puas hati pihak tertentu.
Ketika hubungan di antara Umno dan Bersatu tegang, Annuar dikritik kerana dilihat lebih memihak kepada Bersatu. Malah selepas dipecat daripada jawatannya sebagai setiausaha agung BN, Annuar ‘membongkar’ surat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong Pengerusi PH Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.
Sesetengah pihak pula mendakwa Annuar berniat bertanding untuk jawatan tertinggi Umno. Bagaimanapun tiada bukti dikemukakan bagi membuktikan dakwaan tersebut.
Kata Annuar dia berharap pemilihan Umno dapat disegerakan kerana parti itu tidak boleh berada dalam keadaan tidak menentu.
Kalau tidak akan tergantung-gantung
“Kalau tiba-tiba datang pilihan raya, kita tidak bersedia. Jadi cara terbaik kita kena selesaikan cepat.
“Oleh kerana tahun ini tahun pemilihan, pilihan raya juga boleh jadi tahun ini, boleh jadi tahun depan, kita mana tahu.
“Oleh kerana kita tak tahu tarikh pilihan raya, maka elok disegerakan urusan pemilihan parti,” katanya.
Terdahulu Annuar menyampaikan sumbangan sempena sambutan Tahun Baru Cina di Kok Lanas, Kota Bharu, hari ini.
Perhimpunan Agung Umno 2020 pada awalnya dijadualkan selama dua hari bermula 30 Januari lalu namun terpaksa ditangguhkan selaras dengan proklamasi darurat dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Ia menjadi perhatian kerana bakal mengesahkan usul Umno mahu memutuskan kerjasama dengan Bersatu.
Sementara itu Annuar berkata, cara terbaik menguruskan mesyuarat tahunan Umno ialah memulakannya dengan peringkat cawangan dan bahagian pada Mac hingga Apr ini.
Malah jelasnya, mengikut sistem Umno sekarang pemilihan parti boleh berlaku sewaktu persidangan bahagian.
“Tak semestinya nak tunggu perhimpunan agung, maknanya seawal bulan Mei, bulan Jun kita dah selesai urusan dalaman dan mereka yang mendapat mandat kenalah pikul tanggungjawab.
“Cepat-cepat buat persiapan untuk pilihan raya, kalau tidak tergantung-gantung tidak menentu.
“Saya percaya Majlis Tertinggi Umno ada kebijaksanaan untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya. MK
You must be logged in to post a comment.