5 Ahli Parlimen UMNO hanya diberi peruntukan RM100,000 setahun – Zahid


Lima Ahli Parlimen UMNO masih menerima peruntukan yang sama seperti Ahli-Ahli Parlimen pembangkang.

Mereka hanya diberikan sejumlah RM100,000 untuk kawasan masing-masing, dedah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen UMNO yang menerima peruntukan sebanyak itu termasuk Ahmad Zahid, Ahli Parlimen Bagan Datuk;Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

””Setakat ini saya terima peruntukan sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk adalah sebanyak RM100,000 setahun untuk tahun ini.

”Ahli-ahli Parlimen kerajaan yang lain mendapat RM3.7 juta setahun.

”Alhamdulillah saya dapat RM100,000 itu. Cukup untuk Parlimen Bagan Datuk di mana bahagian yang paling mundur di negeri Perak. Saya ucapkan terima kasih,” kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika siaran langsung di Facebook NR Channel TV, malam tadi.

Nazri dan Ahmad Jazlan sebelum ini mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahmad Jazlan mengumumkan penarikan sokongannya pada 9 Januari lalu manakala Nazri pada 12 Januari.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah adalah Ahli Parlimen dari UMNO yang paling awal menyatakan tidak lagi menyokong Kerajaan Perikatan Nasional.

Lantaran itu, Ahmad Zahid menyeru kerajaan untuk memberikan peruntukan yang sama seperti Ahli Parlimen kerajaan yang lain.

Ini kerana kelima-lima mereka menyokong perbentangan Belanjaan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada November taun lalu sehingga ia diluluskan pada bacaan kali ketiga pada 15 Disember lalu.

“Mudah-mudahan terbukalah hati sesiapa yang buat keputusan itu untuk memberikan peruntukan sama dengan mana-mana Ahli Parlimen yang telah mengundi supaya Bajet 2021 yang telah kami undi dan sokong di Dewan Rakyat.

“Kami undi dan sokong tiga kali di Dewan Rakyat, di peringkat dasar, jawatankuasa dan peringkat bacaan kali ketiga pun kami sokong. Tetapi hadiah yang kami dapat peruntukan RM100,000 setahun kepada kami. Syukur” kata Ahmad Zahid penuh makna. MG

Leave a Reply