Kuasa luar biasa Peguam Negara
Tommy Thomas dan Kuasa AG
Buku Tommy Thomas, “My Story: Justice in the Wilderness” telah mengundang pelbagai reaksi pemimpin dan masyarakat Malaysia.
Saya tidak ingin mengulas tentang isu, peristiwa dan pengkisahan beliau. Itu memoir beliau dan pandangan beliau tidak semestinya benar, sahih dan berwibawa. Yang pasti beliau harus bertanggungjawab dengan apa yang beliau tuliskan.
Saya hanya ingin menyentuh tentang suatu perkara. Iaitu buku tersebut telah memaparkan betapa maha berkuasanya seorang Peguam Negara dan institusi tersebut.
Perincian segala peristiwa yang dinyatakan dalam buku tersebut memaparkan betapa meluasnya pengaruh Peguam Negara serta jabatannya dalam pentadbiran undang-undang negara.
Ini mewajarkan untuk Kerajaan memikirkan semula dua reformasi penting.
Pertama ialah perlantikan seorang Peguam Negara.
Malaysia mesti mempunyai kaedah yang lebih telus dan berwibawa dalam perlantikan seorang Peguam Negara.
Perlantikan Peguam Negara sebagai prerogatif mutlak seorang Perdana Menteri wajar dinilai semula. Lebih merisaukan bila pencalonan datang dari individu tertentu yang berkepentingan dan melalui perbualan dengan Perdana Menteri seperti yang di tulis oleh Tun Mahathir sendiri.
Malaysia mesti mempunyai tatacara perlantikan yang menepati segala ciri ketelusan dan kompetensi bagi jawatan berkepentingan awam dengan kuasa yang luar biasa seperti Peguam Negara.
Kedua, ialah pemisahan antara jawatan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.
Kuasa yang memusatkan segalanya kepada seorang individu mesti di hadkan.
Mungkin wajar untuk Kerajaan mempertimbangkan pemisahan peranan tersebut dengan melantik Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi menjalankan fungsi yang berbeza.
Walaupun saya realistik bahawa meminda perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dan adalah sukar, namun persediaan kearah matlamat tersebut mesti dilakukan demi pelaksanaan dan pentadbiran undang-undang yang dihormati dan berwibawa.
Dato Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan
PH bukan urus negara tapi sibuk siapa mahu jadi PM – Tok Mat
You must be logged in to post a comment.