Isa Samad kena penjara 6 tahun, denda RM15.45 juta — MYKMU.NET

Isa Samad kena penjara 6 tahun, denda RM15.45 juta



Sebaran :

Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi, dan denda RM15.45 juta atas bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad atas sembilan pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM3.09 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika menjatuhkan hukuman berkata, hukuman penjara enam tahun adalah untuk setiap satu pertuduhan, namun ia berjalan serentak.

Selain itu, beliau mengenakan denda RM15,450,00.00, yang dipecahkan kepada sembilan pertuduhan ke atas bekas Menteri Negeri Sembilan itu.



Gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan, tambah Mohd Nazlan lagi, akan mengakibatkan tambahan penjara dua tahun.

“Mahkamah mengambil maklum latar belakang tertuduh mempunyai rekod lama sebagai anggota pentadbiran kerajaan, sebagai Menteri Besar lebih dua dekad, dan sebagai Menteri Persekutuan.

“Tetapi Mahkamah mesti menekankan bahawa rasuah merupakan jenayah yang amat serius, mengganggu-gugat pertumbuhan ekonomi, menafikan hak rakyat, dan ia umpama barah yang melemahkan demokrasi dan keluhuran negara,” katanya lagi.



Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dituduh menerima wang secara berperingkat sebagai ganjaran membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Beliau dituduh menerima wang tersebut daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.



Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pembelaan yang diketuai Datuk Salehuddin Saidin sewaktu proses mitigasi memohon pertimbangan Mahkamah Tinggi untuk meringankan jenis hukuman berdasarkan beberapa faktor.

Antara yang disenaraikan ialah faktor jasa Mohd Isa terhadap rakyat sepanjang 40 tahun karier politiknya, termasuk ketika menjadi Ahli Parlimen Jempol sewaktu berada di dalam parti UMNO dan Barisan Nasional.



Salehuddin berkata, selain itu, Mahkamah juga perlu melihat faktor bahawa ‘nature of the crime’ jenayah kolar putih yang dilakukan tidak memberi kesan besar kepada masyarakat secara keseluruhan, kerana jumlah wang yang disebut adalah RM3 juta.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz menegaskan bahawa jenayah kolar putih merupakan kesalahan yang amat serius, kerana Mohd Isa telah menyalahguna kedudukan yang mempunyai kepercayaan (position of trust) ketika melakukan kesalahan tersebut.

Afzainizam berkata, sepanjang perbicaraan, pasukan pembelaan cuba menimbulkan naratif bahawa Muhammad Zahid selaku Saksi Pendakwaan ke-21 cuba berkomplot untuk menganiaya Mohd Isa atas tujuan tertentu.



Tindakan itu, tegas beliau lagi, menunjukkan Mohd Isa langsung tidak mempunyai perasaan bersalah atau kesal dengan perbuatannya, sebaliknya hanya cuba mencari jalan keluar dengan meletakkan kesalahan atas pihak lain.

Afzainizam berkata, Mohd Isa juga langsung tidak cuba mengembalikan wang berkenaan kembali kepada FICSB, sebagai satu usaha membetulkan keadaan.

“Jika dua perkara ini dilakukan, saya bersetuju bahawa pihak Mahkamah boleh mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan ke atas beliau,” katanya lagi.



Atas sebab itu, Afzainizam berkata, pihak pendakwaan memohon agar Hakim Mohd Nazlan mengenakan hukuman penjara 12 tahun untuk setiap pertuduhan berkuatkuasa hari ini, serta denda RM15.45 juta bagi memenuhi kriteria nilai lima kali suapan.

Jika gagal membayar denda dalam tempoh yang ditetapkan, beliau berkata, Mahkamah perlu mempertimbangkan hukuman penjara tambahan 10 tahun.

Namun Salehuddin berkata, jika Mohd Isa cuba menunjukkan penyesalan, ia bermakna beliau sudah mengaku salah, dan seterusnya akan mengakibatkan percanggahan atau konflik di peringkat seterusnya.



“Itu yang patut kita imbangi, tambahan pula dengan sumbangan Tan Sri Isa kepada negara. Dengan itu Yang Arif, saya mohon dipertimbangkan dengan adil,” katanya lagi-Awani


Sebaran :


Leave a Reply