Bekas peguam cara III buat laporan polis terhadap Tommy Thomas


Bekas Peguam Cara III Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria telah membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas semalam, yang didakwanya melakukan fitnah menerusi petikan dari sebuah buku yang baru dikeluarkan bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”.

Ketika dihubungi Bernama hari ini Mohamad Hanafiah mengesahkan bahawa beliau telah membuat laporan itu di ibu pejabat polis daerah Sepang.

Dalam laporannya beliau mendakwa petikan daripada buku itu telah merosakkan imej beliau sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang telah berkhidmat selama 33 tahun.

“Apa yang ditulisnya dalam buku setebal 248 muka surat itu adalah tidak betul, dia menggambarkan seolah-olah saya seorang pemalas dan tidak dapat menangani pendakwaan dalam perbicaraan berkaitan dana SRC International,” menurut laporan itu.

Mohamad Hanafiah yang kini merupakan peguam berkata petikan itu merujuk kepada persiapan pasukan pendakwaan dalam kes membabitkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2018, semasa beliau menjadi ketua bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Petikan itu jelas tidak benar dan mempunyai konotasi serta nuansa yang saya tidak dapat memimpin atau mengetuai pasukan pendakwaan, menunjukkan saya lebih selesa dengan tugas-tugas pentadbiran.

“Sebaliknya, setelah Thomas mengarahkan saya meneliti kertas siasatan (IP) untuk kes SRC, saya membentuk pasukan TPR terbaik dan paling berpengalaman untuk meneliti semua pernyataan di IP dan untuk menyiapkan pendakwaan berdasarkan pernyataan yang juga melibatkan pelbagai urus niaga kewangan yang kompleks.

“Isu saya memimpin pasukan pendakwaan tidak timbul, tetapi peranan saya adalah sebagai pegawai kanan undang-undang yang memiliki pengalaman luas dalam pendakwaan, namun Thomas telah memberitahu bahawa dia akan mengetuai pasukan.

“Untuk kes yang begitu besar, memang tepat bagi seorang Peguam Negara menerajui pendakwaan, seperti yang dilakukan oleh peguam negara sebelumnya,” kata bekas TPR yang berumur 60 tahun itu.

Mohamad Hanafiah berkata beliau terlibat dalam persediaan perbicaraan, namun dua atau tiga bulan sebelum perbicaraan dijadualkan bermula, Thomas memberitahu bahawa beliau (Mohamad Hanafiah) tidak akan terlibat, sebaliknya diarahkan untuk memberi tumpuan kepada tugas-tugas pentadbiran di pejabat Peguam Negara.

“Beliau tidak pernah beritahu saya pada bila-bila masa bahawa saya sepatutnya mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes SRC, atau memberitahu saya tidak berkebolehan untuk mengetuai pasukan,” katanya.

Sehubungan itu Mohamad Hanafiah menggesa polis supaya menyiasat kes itu mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menfitnah terhadap beliau dan juga pegawai-pegawai di Jabatan Peguam Negara, di samping merosakkan reputasi dan nama baik jabatan. Bernama

Polis akan panggil Tommy Thomas

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker