Nelayan tumbuk muka lelaki berdua-duaan dengan isteri dalam bilik tidur ditahan

KANGAR: Seorang nelayan ditahan kerana dipercayai menumbuk muka lelaki yang ditemui berdua-duaan bersama isterinya dalam keadaan tidak berbaju di dalam bilik rumah mereka di Jalan Dato Ali, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, dalam kejadian 11 malam itu, nelayan berusia 26 tahun berkenaan ternampak sebuah motosikal tidak dikenali diparkir di hadapan rumahnya ketika pulang.

“Dia yang curiga masuk ke dalam rumah sebelum menemui seorang lelaki tidak berbaju berada dalam bilik tidur bersama isterinya yang ketika itu hanya berkemeja-T dan berkain batik.

“Dia berang lalu meluru ke arah lelaki lelaki berkenaan sebelum menumbuk mukanya sebanyak dua kali.

“Dia yang masih tidak berpuas hati turut merosakkan motosikal lelaki itu yang diletakkan di hadapan rumahnya,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, polis yang dimaklumkan kejadian berkenaan kemudian tiba di rumah itu dan menahan nelayan terbabit untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dan isterinya masih pasangan suami isteri yang sah serta tiada masalah rumah tangga serius, malah tiada sebarang permohonan fasakh, nusyuz mahupun perceraian difailkan di mahkamah syariah.

Katanya, suspek dipercayai sudah lama mengetahui isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki itu dan sering membawanya ke dalam rumah mereka ketika suspek tiada di rumah.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan serta melakukan khianat dengan merosakkan harta persendirian.

Katanya, mangsa juga disiasat mengikut Seksyen 447 dan Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kawasan persendirian dan memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah.-Awani

Leave a Reply