Ibu Pejabat MPK ditutup, 40 kakitangan positif Covid-19

 

Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sini ditutup sementara mulai hari ini hingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak susulan 40 kakitangan agensi itu didapati positif COVID-19.

Yang Dipertua MPK Datuk Hamdan Hussin dalam kenyataan memaklumkan penutupan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja disinfeksi awam dan dalam tempoh tersebut kakitangan serta orang awam tidak dibenarkan berada di dalam kawasan berkenaan sehingga kerja-kerja nyah kuman selesai dijalankan.

“Perkhidmatan yang memerlukan pemohon hadir secara bersemuka adalah ditangguhkan sehingga pengoperasian Kompleks Ibu Pejabat MPK disambung semula,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak ketika dihubungi berkata seluruh kakitangan MPK dan ahli keluarga mereka dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO) serta diarahkan melakukan kerja dari rumah.

“Keadaan adalah terkawal. Penularan ini berpunca daripada jangkitan dari luar negeri Pahang yang menular dalam keluarga seorang daripada warga kerja MPK sebelum menjangkiti yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerja-kerja penguatkuasaan dan operasi bandar tidak terjejas berikutan jangkitan hanya melibatkan bahagian pentadbiran di kompleks ibu pejabat tersebut manakala pejabat-pejabat cawangan tidak terlibat.

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan MPK seperti pembayaran cukai taksiran, pembaharuan lesen, pembayaran kompaun, membuat aduan dan pengemukaan pelan pembangunan boleh membuat urusan secara dalam talian dengan melayari laman sesawang www.mpk.gov.my.

-Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker