Sudah Isytihar Darurat Mengapa Kerajaan, Hospital Masih Berunding Harga Rawatan Covid-19?

 

Walaupun darurat sudah diisytiharkan, kata PKR, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat masih gagal menguruskan isu pembabitan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta untuk membantu rakyat.

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung, berkata dalam keadaan angka pesakit baru Covid-19 mencecah lebih 5,000 kes sehari untuk tiga hari berturut-turut, negara ini sebenarnya sudah memasuki peringkat ‘berperang’.



“Kerajaan PN mengisytiharkan darurat di seluruh negara, tetapi di sebelah sini mengelakkan diri daripada meminta hospital swasta untuk melaksanakan tanggungjawab sosial mereka.

“Sebaliknya, mereka masih membazirkan masa dalam rundingan harga. Ini jelas amat mengecewakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia diisytiharkan darurat sejak pertengahan Jan lalu hasil nasihat yang diberikan kabinet diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Walaupun dikritik sebagai langkah untuk menyelamatkan jawatannya, Muhyiddin berkata darurat diperlukan untuk negara menghadapi Covid-19.

Semasa mengumumkan hal itu Muhyddin berkata darurat diisytiharkan agar kerajaan boleh mendapatkan penglibatan inklusif daripada pihak swasta sepanjang tempoh berkenaan.



Katanya darurat juga membolehkan beberapa ordinan dimasyhurkan merangkumi keperluan seperti mengambil alih aset hospital swasta atau menggunakan sumber mereka bagi merawat pesakit Covid-19.

Lee berkata peruntukan RM100 juta kerajaan bagi menampung kos perubatan pesakit ke hospital swasta masih lagi diselubungi pelbagai keraguan.

Justreru katanya Menteri Kesihatan Dr Adham Baba wajar tampil memberikan pencerahan dengan menyediakan maklumat terperinci mengenainya.

Kata Lee PKR menggesa hospital swasta tampil untuk menawarkan perkhidmatan perubatan Covid-19 kepada rakyat Malaysia dengan mentaliti yang tidak hanya mementingkan keuntungan.



“Ini adalah waktu kritikal seluruh rakyat Malaysia memerangi Covid-19, tetapi kenapa hospital swasta masih berkira-kira tentang keuntungan mereka?” katanya.

Adun Semambu itu juga berkata sejak projek penswastaan hospital dilaksanakan, pihak terbabit memperolehi keuntungan yang lumayan termasuk sepanjang tempoh wabak Covid-19 menular.

“Wabak tidak berlaku setiap tahun di negara ini. Jika mereka tidak diminta berkorban untuk negara sekarang, rakyat kena tunggu hingga bila lagi?” katanya



Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker