Pengurangan 50 peratus sewa premis PBT di Wilayah Persekutuan selama tiga bulan

PENDUDUK dan peniaga yang menyewa sama ada rumah atau premis perniagaan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di Wilayah Persekutuan akan menikmati pengurangan sewa selama tiga bulan.

Kemudahan tersebut diberikan kepada penyewa selama tiga bulan bermula Januari ini sehingga Mac.

Pengurangan sewa itu adalah selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bagi mengurangkan impak kepada peniaga dan penduduk yang terkesan.

Malah, PKP kali ini juga membenarkan peniaga dan penduduk bekerja dan sedikit sebanyak dapat memberi ruang kepada mereka untuk mencari pendapatan.

“Saya juga hendak maklumkan sempena Hari Wilayah Persekutuan kali ini, saya memahami ramai penjaja, peniaga dan penyewa rumah yang sebelum ini kita berikan keistimewaan pengecualian sewa.

“Mereka sudah sembilan bulan duduk percuma di semua premis perniagaan dan rumah milik bandar raya.

“PKP kali ini mereka boleh berniaga, jalankan aktiviti kuranglah sedikit berbanding tekanan sebelumnya.

“Tetapi setelah mengambil kira faktor dan saya telah berbincang dengan Datuk Bandar pada petang tadi, ingin mengumumkan daripada bulan Januari sampai Mac.

“Kepada semua penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan premis perniagaan milik dewan bandar raya diberikan pengecualian 50 peratus.

“Jadi kalau duduk di rumah bandar raya itu, bayar RM60 sahajalah.”

Demikian pengumuman dibuat Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika dalam wawancara secara langsung menerusi segmen Bicara Naratif terbitan RTM TV1 malam ini.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang akan disambut pada 1 Februari ini.

Kata Annuar, walaupun prosedur operasi standard (SOP) tidak membenarkan sambutan secara beramai-ramai dibenarkan, namun pelbagai program lain tetap dianjurkan bagi memeriahkan Hari Wilayah Persekutuan.

Ini termasuklah melancarkan program khas rumah mampu milik bernilai kurang daripada RM200,000 kepada pasangan muda.

“Kita harap dalam tempoh ini kita dapat mengurangkan lagi masalah penularan Koronavirus (Covid-19).

“Tetapi untuk sambutan Hari Wilayah Persekutuan, kita ada banyak program yang istimewa seperti pencahayaan sebagai simbolik kerana tidak boleh ada jamuan dan perhimpunan.

“Kita juga ada program untuk menghantar bakul-bakul makan kepada asnaf iaitu setiap kawasan kita sediakan peruntukan RM50,000 dan bakul makanan akan dihantar kepada golongan yang berkelakan.

“Selain daripada bakul makanan yang akan diedarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak 15,000 keluarga, kita akan tambah hampir 13,000 keluarga.

“Pada 1 Februari juga kita akan sediakan program beras percuma kepada kumpulan yang memerlukan yang juga mendapat bantuan lain.

“Mereka boleh memohon kupon beras percuma dan akan diberikan kepada mereka.

“Alhamdulillah, baharu seminggu saya cakap tentang konsep beras percuma, sehingga hari ini saya telah mendapat sumbangan lebih RM1 juta.

“Ini membolehkan kita memberi beras percuma bukan untuk sebulan atau dua bulan tetapi mungkin enam bulan.

“Jadi, lain-lain program termasuklah kita akan lancarkan Rumah Prihatin buat pertama kalinya iaitu rumah berharga RM200,000 ke bawah yang diberikan khusus pasangan muda untuk memiliki rumah yang lebih mampu dimiliki bukan mampu dilihat,” ujarnya. – SM

Leave a Reply