Sebahagian senarai pengimport daging berlesen akan dikeluarkan hari ini

PUTRAJAYA: Sebahagian daripada senarai pengimport daging yang diberikan lesen untuk memasarkan daging di negara ini akan didedahkan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia adalah bagi mengurangkan kebimbangan orang ramai berhubung isu makanan halal.

“InsyaAllah, kalau nak dedahkan, kami boleh dedahkan hari ini mengikut ruang lingkup halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Sekiranya ia berkait dengan kementerian lain, kita akan minta izin, sebab orang awam ingin mengetahui juga,” katanya selepas majlis pelepasan misi bantuan banjir, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di perkarangan Kompleks Islam, di sini, hari ini.

Menerusi Program Inspirasi Qaseh Kami – Misi Bantuan Program Musaadah 2021 itu, 1,000 keluarga yang terjejas akibat banjir baru-baru ini menerima sumbangan berupa makanan asas.

Ditanya bilakah senarai penuh akan didedahkan, Zulkifli memberitahu, ia akan dilakukan dalam masa terdekat.

Beliau turut memaklumkan bahawa Jakim telah mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta pengimport dan pengedar daging pada 5 dan 11 Januari lalu bagi membincangkan beberapa isu berkaitan.

Sebelum ini, media melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

 

Leave a Reply