Sultan Nazrin perkenan solat Jumaat dilaksana di Perak, maksimum jemaah 40 orang

POH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perkenan agar solat Jumaat dan fardu dibenarkan diadakan di semua masjid dan surau di negeri ini dengan had maksimum 40 orang jemaah.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, titah berkenaan dibuat baginda selepas menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak serta pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negeri Perak.

Menurut beliau, jemaah yang dibenarkan pula terbatas pada warganegara Malaysia lelaki dalam lingkungan usia 16 hingga 70 tahun.

“Solat Jumaat dibenarkan diadakan di semua masjid dan surau termasuk surau-surau dalam bangunan pejabat, institusi, universiti, maktab, sekolah, syarikat dan kilang untuk memberikan ruang kepada lebih ramai orang dapat menunaikan solat.

“Had maksimum 40 orang jemaah dalam sesebuah masjid atau surau bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah (tidak termasuk ahli jawatankuasa dan pegawai masjid dan surau).

“Aktiviti agama berunsur ilmu dibenarkan didakan di masjid dan surau dalam ruang waktu antara selesai solat Maghrib sementara menantikan masuknya waktu solat Isyak. Aktiviti hendaklah dihentikan sebaik masuk waktu solat Isyak” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kata Mohd. Annuar, ketetapan ini terpakai dan berkuatkuasa 28 Januari ini sehingga dikeluarkan apa-apa ketetapan baharu.

Jelasnya, sebarang acara jamuan dalam masjid dan surau termasuk di perkarangan masjid dan surau adalah tidak dibenarkan.

“Jabatan Agama Islam Perak bertanggungjawab mengeluarkan garis panduan lengkap kepada semua ahli jawatankuasa serta pegawai masjid dan suau, di samping bertanggungjawab memantau pematuhan garis panduan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata Sultan Nazrin sedia memahami hasrat umat Islam mahu mengimarahkan rumah-rumah Allah dan beribadah secara berjemaah.

Dalam pada itu, katanya, baginda juga amat bimbang akan ancaman terhadap keselamatan ummah akibat penularan wabak COVID-19.

“Baginda amat bersimpati dengan para petugas Kementeran Kesihatan Malaysia yang sedang berada di barisan hadapan menangani wabak COVID-19 yang menular pada skala begitu besar.

“Antara cara untuk meringankan beban tugas mereka boleh dibuktikan melalui amalan jarak fizikal, meminimumkan bilangan kehadiran dalam acara, tidak menganjurkan atau menghindarkan acara berbentuk perhimpunan.

“Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kaitangan KKM yang sedang menggalas beban tugas begitu berat, juga kepada anggota Polis Diraja Malaysia, RELA dan pelbagai agensi lain yang saling bekerjasama memastikan Perintah Kawalan Pergerakan dipatuhi,” ujar beliau.

Katanya lagi, Sultan Nazrin turut menzahirkan titah nasihat agar semua masjid dan surau menganjurkan solat sunat hajat setiap hari bagi memohon ihsan dan rahmat Allah SWT, agar bencana kesihatan yang melanda dunia ketika ini berjaya dibendung.

 

Leave a Reply