Dua kali dicurangi

KUALA LUMPUR Menjadi perosak rumah tangga orang cukuplah sekadar di layar kaca televisyen. Hakikatnya, Jasmine Suraya Chin, 32, tidak rela dicurangi dan hubungan cinta diganggu ‘orang ketiga’ dalam kehidupan sebenar.

Wanita kelahiran Bumi Kenyalang itu juga mengatakan ‘tidak’ untuk berkongsi kasih dengan wanita lain.

Pelakon filem Paskal dan Pasal Kau! itu sedar betapa sakitnya cinta diganggu oleh orang ketiga. Bukan sekali, bahkan dua kali pernah melalui pengalaman mengguris hati apabila bertemu kekasih yang tidak setia.



Baru-baru ini, lakonan Jasmine sekali lagi meledakkan kecaman apabila menjadi pemusnah hubungan Sweet Qismina dan Adam Lee menerusi drama Bidadari Salju yang melabuhkan tirai, Khamis lalu.

Tahun lalu, nama Jasmine mula hangat diperkatakan apabila membawa watak perampas dalam drama Adellea Sofea yang dibintangi Mira Filzah dan Ungku Ismail Aziz. Dua drama ini berjaya meletakkan nama Jasmine sebaris dengan pelakon popular lain.

Bagaimanapun, dalam realiti kehidupan sebenar, Jasmine tidak sanggup berdepan kecurangan, apatah lagi berkongsi kasih.

Akuinya, dia serik dengan berdepan pengalaman dicurangi. Awal-awal lagi, dirinya sudah ‘memangkah’ daripada menjadi perampas hak orang.



“Hakikatnya, tiada siapa sanggup dicurangi. Mendengar perkataan curang pun saya fobia, apatah lagi nak hidup berkongsi kasih. Memang tiada dalam kamus hidup saya.

“Apa yang penonton lihat di kaca TV menerusi drama Bidadari Salju hanyalah lakonan semata-mata. Saya tidak sesekali menjadi seperti Jeanny dalam dunia realiti.

“Saya tak mahu sakit otak, jiwa jadi psiko. Saya sangat membenci wanita yang menjadi perosak hubungan orang lain,” katanya kepada BH Online.

 



 

Jasmine Suraya menolak untuk berkongsi kasih dengan wanita lain. - Foto IG Jasmine Suraya
Jasmine Suraya menolak untuk berkongsi kasih dengan wanita lain. – Foto IG Jasmine Suraya

 

Jasmine berkata, watak Jeanny bukan sahaja dibenci, malah dia menerima pelbagai ugutan sepanjang drama Bidadari Salju ditayangkan di slot Akasia, TV3.

“Saya pernah dua kali berdepan pengalaman dicurangi. Saya tahu betapa sakit apabila cinta dikhianati. Hati saya bagaikan disiat-siat, tertusuk pisau tajam. Jadi, saya tidak sesekali menjadi perampas.



“Saya tak dapat membayangkan bagaimana menjadi pemusnah hubungan orang lain. Saya mungkin tak tahu mana hendak letak muka, seandainya ia benar-benar terjadi dalam diri. Saya tidak akan menyokong mana-mana wanita yang menjadi perampas.

“Jujurnya, saya enggan membawakan watak perampas lagi. Bagi saya, cukuplah watak Suzie Tan dan Jeanny. Saya tidak kisah membawa watak antagonis, cuma bukan watak perampas atau perosak rumah tangga orang lain,” katanya.

Gara-gara watak Jeanny, Jasmine mendedahkan, dia menerima banyak mesej langsung (DM) yang berunsur ugutan hingga ibunya yang kini berada di Kuching, Sarawak bimbang keselamatannya.

“Saya terima banyak mesej langsung daripada peminat drama Bidadari Salju, mereka terlalu membenci Jeanny. Ini termasuklah ugutan peminat dari Indonesia. Ada yang mahu menampar, menyimbah asid, malah tidak kurang juga mengugut mahu mengerat dan membunuh saya.



“Tidak cukup itu, ada netizen mahu saya mati, selain mengugut mahu menculik dan merogol. Apa yang kelakarnya, netizen yang membenci adalah pengikut saya dalam Instagram (IG).

“Bohonglah tidak timbul kebimbangan apabila menerima ugutan menakutkan. Ibu terlalu bimbang keselamatan hingga minta saya berhati-hati dan berhenti menerima watak seperti Jeanny,” katanya.

Namun, bekas graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Ekonomi, Universiti Monash, Melbourne, Australia itu berkata, dia tetap bangga apabila dapat menjayakan watak Jeanny.

“Rasanya belum pernah saya dibenci sedemikian rupa sepanjang bergelar pelakon. Ini bermakna saya berjaya menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya yang lebih gemar membawakan watak antagonis kerana mempunyai kebebasan untuk berkarya.



Jasmine yang memulakan kerjayanya sebagai pengacara sebelum berjinak-jinak dalam dunia lakonan berkata, dia lebih selesa membawakan watak antagonis kerana ia mudah dicorakkan berbanding membawakan watak baik.

“Bagi saya, watak baik tidak banyak ruang untuk dibawakan berbanding antagonis. Saya sedang membintangi sebuah drama sebagai watak utama menjadi seorang gadis baik. Tetapi, tidak banyak ruang boleh digunakan untuk mengembangkan dan menjadikan watak berkenaan lebih menyerlah.

“Tidak seperti watak jahat yang banyak rujukan boleh dilakukan, selain pelbagai cara boleh dipersembahkan.

“Cuma, saya bimbang masyarakat akan menilai saya sebagai perampas dalam dunia realiti apabila membawa watak seperti Jeanny. Saya tak mahu dianggap perangai jijik seperti itu di luar lakonan,” katanya.

 

Watak Jeanny lakonan Jasmine Suraya bukan sahaja dibenci, malah menerima ugutan bunuh dan rogol sepanjang drama Bidadari Salju ditayangkan di slot Akasia, TV3. - Foto IG Jasmine Suraya
Watak Jeanny lakonan Jasmine Suraya bukan sahaja dibenci, malah menerima ugutan bunuh dan rogol sepanjang drama Bidadari Salju ditayangkan di slot Akasia, TV3. – Foto IG Jasmine Suraya

 

Jasmine berkata, pada asalnya, watak Jeanny bukanlah seorang yang jahat dan perampas. Bagaimanapun, jalan cerita itu ditukar ketika pertengahan penggambaran bagi menjadikan drama arahan Reza Badarudin menjadi lebih menarik.

“Mengikut skrip asal, Kayra lakonan Sweet dah Hariz (Adam) sering bergaduh. Justeru, bagi membuatkan penonton tidak bosan, pengarah menyuntik konflik bagi memperindahkan jalan cerita.

“Jeanny bukannya jahat, tetapi ramai salah faham terhadap situasi yang berlaku. Jeanny, seorang yang baik, tetapi pengarah mewujudkan konflik dengan membuatkan Jeanny kelihatan jahat pada pertengahan cerita.

“Sebab itu, jika menonton drama ini dengan teliti, mereka dapat menilai sesetengah babak Jeanny tak nampak jahat kerana penggambaran dilakukan lebih awal sebelum konflik timbul,” katanya.

Anak tunggal dalam keluarga itu berkata, dia kini hidup berjauhan daripada ibunya yang menetap di Kuching. Hampir setahun Jasmine tidak berpeluang bertemu dengannya sejak COVID-19 menyerang seluruh negara tahun lalu.

Mengakui amat merindui orang tuanya, Jasmine berkata, ibunya tinggal bersendirian sejak pemergian bapanya.

“Sudah hampir setahun saya tidak bertemu dengan ibu. Saya amat merinduinya, tetapi tak mampu nak buat apa. Hanya telefon menjadi penghubung untuk melepaskan rindu.

“Sebelum ini, ibu sering ke Kuala Lumpur untuk transit, sebelum kami meluangkan masa bercuti bersama-sama. Bagaimanapun, kami tidak dapat pergi bercuti sejak pandemik COVID-19.

“Ibu pula memang tidak betah tinggal di Kuala Lumpur kerana lebih selesa tinggal di Kuching. Ini kerana ibu tidak sanggup berdepan kesibukan kota,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker