Presiden UMNO sudah hilang kredibiliti, kata Tun Faisal
Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah hilang kredibilti selepas percubaan untuk membawa UMNO menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal beberapa kali.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, keputusan parti telah dibuat iaitu ‘no Anwar no DAP’ tetapi timbul isu ‘surat’ dan jajaran politik baharu melibatkan kerjasama DAP dan Anwar.
“Di sini orang melihat kepada kredibiliti presiden semula, lebih-lebih lagi ada usaha berulang kali untuk membawa kerjasama dengan Anwar telah ditolak oleh majoriti Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
“Telah ditolak berkali-kali oleh MKT (Majlis Kerja Tertinggi) dan persidangan bahagian pun tidak dapat lebih daripada 100 bahagian yang membawa usul menolak kerjasama dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).
“Maksudnya presiden ada isu kredibiliti, apa yang beliau bawa tidak boleh sampai, tidak diterima majoriti dalam UMNO dan saya melihat ini perkara yang perlu segera mendapat penyelesaian,” katanya menerusi rakaman video pendek kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Dalam pada itu, Tun Faisal berkata, ada pihak turut mencadangkan agar pemilihan UMNO dilakukan segera agar parti itu mendapat kepimpinan baharu untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum akan datang.
“Satu lagi pandangan bahawa kalau tidak ada pemilihan baharu pun presiden kena berundur atau berehat sementara,” katanya.
Dalam mengisi kekosongan itu, beliau melihat mungkin Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan mampu memikul tanggungjawab berkenaan untuk mengemudi semula UMNO.
“Mungkin itu satu kaedah untuk kita membetulkan semula keadaan dalam UMNO yang nampak gayanya makin hari makin nampak tidak tersusun dan kucar kacir sedikit. Perlu ada noktah terhadap (perkembangan) ini. Siapa tokoh yang boleh melaksanakan? Kena ada tokoh yang boleh membantu parti di tempat (presiden) ini.
“Sebab itu kita melihat suara Pemuda (UMNO) yang bercakap tentang perubahan kepimpinan. Ini yang dikatakan ‘wind of change’,” katanya.