KPM tunggu apa lagi, TV Pendidikan bila nak siap?

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Mohd Sofi Abdul Wahab (gambar, judul) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya mewujudkan semula program TV Pendidikan.

Jelasnya kerana, saluran yang mula diperkenalkan pada tahun 1972 perlu dikembalikan bagi membantu kanak-kanak yang kini melalui proses Pengajaran Dan Pembelajaran di Rumah (PDPR).

“Saya nak cadangkan kepada kementerian supaya kembalikan semula program TV Pendidikan di siaran percuma di televisyen seperti yang pernah dilaksanakan pada tahun 1980an.

“Ini sebagai satu alternatif kepada kanak-kanak yang perlu belajar dalam talian namun tiada akses internet di kawasan atau tiada fasiliti seperti telefon atau komputer riba,”

Untuk rekod, pada sidang Dewan Rakyat Nov lalu, Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik mempersoalkan apakah jaminan KPM agar kandungan TV Pendidikan dapat disiapkan selepas tarikh tamat projek yang diberikan kepada syarikat Radius One Sdn Bhd (Radius One) itu dilanjutkan.

Bekas menteri pendidikan itu turut bertanya mengapa syarikat yang diberikan projek TV Pendidikan tersebut mengambil tempoh yang begitu lama untuk menyiapkan 25 daripada 800 siri kandungan yang diperlukan.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata, projek tender terbuka yang bernilai RM1.92 juta yang diberikan kepada syarikat terbabit mengalami kelewatan kerana terjejas akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Oleh itu, dia berkata tarikh tamat projek itu dilanjutkan dari 30 Nov 2020 kepada 31 Mac 2021.

Dalam pada itu, sekiranya siaran TV Pendidikan dikembalikan dalam masa terdekat, Mohd Sofi juga mencadangkan supaya ia dapat diselaraskan menerusi siaran khas bagi setiap peringkat sekolah.

“Sekiranya sudah diwujudkan, KPM boleh keluarkan jadual khas. Contohnya beberapa siaran diasingkan untuk peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Jadi bagi mereka (pelajar sekolah) yang tiada kemudahan atau jaringan internet. Mereka boleh belajar menerusi televisyen kerana itu adalah antara kemudahan asas yang dimiliki hampir semua keluarga.

“Ini satu alternatif kepada pdpr kerana kita lihat laporan sekarang ini, terlalu ramai ibu-bapa mengalami masalahn tidak mampu menyediakan gajet kepada anak mereka,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker