Mengejutkan: Polis Kelantan lulus lebih 52,000 kebenaran rentas daerah, negeri

Polis Kelantan meluluskan lebih 52,000 surat kebenaran rentas daerah dan negeri kepada golongan yang dibenarkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu, bermula 16 Januari lalu di negeri itu.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata keutamaan pihaknya bagi mengeluarkan surat kebenaran itu melibatkan pekerja yang tiada majikan dan bekerja sendiri susulan kerajaan membenarkan golongan terbabit menjalankan aktiviti seperti biasa.

Menurutnya, jumlah itu juga turut membabitkan pengeluaran surat kebenaran kepada individu yang menjalankan khidmat menghantar makanan yang dibenarkan bagi tujuan pergerakan ekonomi mereka.

“Selepas minggu kedua PKP pihak kami dapati jumlah permohonan surat ini berkurangan berbanding pada tiga hari pertama PKP dilaksanakan di negeri Kelantan.

“Malah, sebelum ini kita boleh melihat ramai yang datang ke balai-balai untuk memohon surat berkenaan.

“Selain itu, sekatan jalan raya (SJR) masih dikekalkan di 19 lokasi dan ia mencukupi setakat ini, namun pihak polis menambah anggota sebagai pasukan pemantau untuk penugasan kawalan di lorong-lorong tikus di sepanjang sempadan negara.

“Pasukan pemantau akan berada di setiap lokasi yang ditetapkan termasuk sekitar sempadan negeri bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal terutama ketika pendemik Covid-19 ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program First Day at School di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, hari ini.

 

Sementara itu, Shafien berkata pihaknya berpuas hati terhadap tahap pematuhan masyarakat di kawasan bandar terhadap prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKP.

Justeru katanya, pihak polis akan turut memberi tumpuan bagi pemantauan SOP di kawasan-kawasan kampung.

“Justeru, strategi pihak kami selepas ini adalah untuk masuk ke kawasan kampung pula memandangkan terdapat informasi bahawa masih ada golongan yang tidak bertanggungjawab membuka gerai untuk pelanggan makan di kedai mereka.

“Saya berharap masyarakat di kampung juga dapat mematuhi segala SOP yang ditetapkan untuk kebaikan bersama kerana wabak ini boleh menular tidak kira tempat malah sudah banyak kes yang ada di kawasan pendalaman dan terpencil,” katanya.

Sehubungan itu, tegasnya pihak polis berharap orang ramai seharusnya memberi kerjasama dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri itu.

“Jadi marilah kita jaga kita, untuk memutuskan rantaian Covid-19, pihak polis juga memerlukan kerjasama baik dengan orang awam dalam melancarkan tugasan sepanjang pendemik ini,” kata Shafien.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker