NGO akui sumbangan ke hospital berkurang kerana ada pihak lain lebih memerlukan

Sebaran :

Gambar Hiasan

Pada 17 Jan lalu, Pengarah Kesihatan Selangor Dr Sha’ari Ngadiman berkata Hospital Sungai Buloh, yang menjadi hospital utama dalam merawat pesakit Covid-19, kurang menerima sumbangan seperti makanan daripada NGO berbanding sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) kali pertama tahun lalu.

Kenyataan itu bagi menjawab rintihan doktor bahawa tiada makanan disediakan untuk syif on-call.

Menjawab kenyataan itu, beberapa NGO yang dihubungi mengakui perkara itu tetapi menyatakan bantuan mereka kini lebih bertumpu kepada golongan lain.

Presiden Belia Harmoni Malaysia Usaid Asmadi berkata, bagi PKP kali kedua ini, pihaknya memberi keutamaan kepada mahasiswa yang terkesan.

“Kali ini kita sudah mula ubah orientasi pergerakan kerana pelbagai isu antaranya kekangan rentas pergerakan.

“Kita lihat spesifikasi itu dan kita akui tak mampu bantu semua orang. Jadi kali ini bantuan diberikan kepada mahasiswa.

“Antaranya pemberian bantuan seperti komputer riba, bantuan internet dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi.

Usaid berkata lagi, NGO hanya memberi bantuan secara sukarela dan tanggungjawab sebenar terletak di bahu kerajaan.

“Kalau ada kekurangan kebajikan terhadap petugas barisan hadapan, saya rasa kita harus lihat dari kerajaan dulu,” katanya, yang mencadangkan kerajaan untuk meningkatkan rangkaian dengan NGO dalam soal bantuan.

Pengerusi Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia Amal Relief (Arif) Melaka, Hairil Anuar Samat turut mengakui pihaknya lebih kerap memberi sumbangan kepada hospital ketika PKP kali pertama.

Namun kali ini, jelas Hairil, pihaknya lebih memberi tumpuan kepada kerja sukarelawan, antaranya dalam melakukan nyahjangkitan wabak Covid-19.

Katanya lagi, pihaknya sedang berusaha mengumpul dana untuk menggiatkan lagi program itu di Melaka dan mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai.

Terdahulu, seorang doktor yang bertugas di Hospital Sungai Buloh menulis surat terbuka untuk menceritakan cabaran yang dihadapi petugas kesihatan pada masa ini.

Antara yang dibangkitkannya adalah tiada tempat berehat dan kekurangan makanan bagi petugas syif on-call.

Susulan pelaksanaan PKP kali kedua, kerajaan Selangor pada 20 Jan lalu mengumumkan pakej bantuan Kita Selangor yang antara lain memperuntukkan bantuan untuk petugas barisan hadapan seperti penyediaan makanan dan pusat jagaan anak sementara secara percuma selama dua bulan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ikram Kamsani Nasir berkata, persatuannya ada memberi bantuan namun mengutamakan hospital di Sabah susulan peningkatan kes mendadak di negeri itu beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun dia berkata Ikram sudah mengadakan perbincangan bersama beberapa hospital di sekitar Selangor.

“Saya difahamkan pihak hospital Selangor dalam satu mesyuarat bersama Ikram juga ada mengadu mereka mula kekurangan sut perlindungan diri (PPE) untuk PKP kali kedua ini.

“Jadi selepas perbincangan, Ikram sudah meneliti beberapa faktor lain yang boleh bantu dan akan akan berikan sumbangan dari segi PPE dan makanan kepada pihak hospital secepatnya,” katanya.

PKP kali kedua mula dikuatkuasakan di beberapa negeri dan wilayah persekutuan sejak 13 Januari lalu, sebelum disusuli negeri lain.

Pada masa ini, seluruh negara di bawah perintah tersebut kecuali Sarawak. Ia dijadual berakhir pada 4 Februari. MK


Sebaran :

Leave a Reply