DBKL selamatkan 140 gelandangan sekitar ibu kota

KUALA LUMPUR: Seramai 140 gelandangan di sekitar ibu kota diselamatkan dan ditempatkan di dua pusat sementara gelandangan (PSG) di Sentul Perdana dan Setiawangsa malam tadi dalam usaha membendung penularan Covid-19 sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah berkata, mereka dijangka ditempatkan di pusat itu hingga hujung Februari ini sebelum dibawa ke Pusat Transformasi Gelandangan di Taman Desa (tapak bekas Desa Water Park) pada awal Mac dan dibantu mendapatkan pekerjaan.

“Di sini, mereka akan diberi latihan kemahiran supaya mereka boleh mendapat pekerjaan tetap bagi menyara hidup. Antara latihan dirancang adalah menjalankan pertanian bandar dan kemahiran lain yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan.



Semalam, Mahadi meluangkan masa menyertai operasi menyelamatkan gelandangan yang melibatkan 95 anggota penguatkuasa pelbagai agensi seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Imigresen.

Pada masa sama, Mahadi berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mencari penyelesaian menyeluruh untuk menangani isu gelandangan itu termasuk dengan menyediakan tempat perlindungan bagi mereka.

“Satu program yang lebih tersusun sedang dirangka bagi memudahkan pengurusan dari sudut pengagihan makanan kepada golongan ini oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian.

“Sistem pengagihan makanan pada ketika ini dilihat tidak lagi sesuai dilakukan di pusat bandar raya kerana ia menyebabkan kesesakan lalu lintas dan meninggalkan kesan negatif dari aspek pengurusan perbandaran,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker