Buatlah ‘all-out’ sekarang ketatkan jangan longgar, jangan tunggu PKP 3.0 – Najib Razak

PETALING JAYA: Kerajaan perlu melaksanakan kawalan ketat termasuk kepada sektor perkilangan dan pembinaan sekarang, bukannya selepas tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 tamat pada 4 Feb ini dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, kerajaan tidak perlu mengambil masa lebih lama termasuk sehingga terpaksa melaksanakan PKP 3.0 untuk melakukan sekatan lebih ketat kepada dua sektor itu kerana ia akan memberi kesan kepada sektor lain termasuk menambah penderitaan rakyat lebih lama.

“Jika nak buat secara ketat dengan melarangkan sektor kilang dan pembinaan, buatlah ‘all-out’ sekarang. Jangan tunggu dan paksa rakyat menderita lagi lama di bawah PKP,” katanya di Facebook.

Najib mengulas laporan memetik Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) diberitahu oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bahawa kerajaan akan melaksanakan PKP 3.0 yang amat ketat termasuk larangan ke atas sektor kilang dan pembinaan selepas PKP 2.0 berakhir jika jangkitan Covid-19 masih tinggi.

Najib berkata, jika peraturan longgar ketika PKP ini diteruskan hingga 4 Feb dengan sektor menyumbang peningkatan jangkitan seperti perkilangan dan pembinaan dibenarkan beroperasi, jangkitan akan tetap tinggi.

“Jika PKP 3.0 berlaku, sektor-sektor lain tidak berkaitan (selain perkilangan dan pembinaan) yang terpaksa sia-sia berkorban 23 hari untuk PKP 2.0 nak ‘claim’ kerugian dari siapa?

“Kenapa tak laksanakan secara ketat tanpa kelonggaran awal-awal lagi pada PKP 2.0 seperti disaran saya dan ramai lagi?Kenapa hanya cadang nak buat selepas PKP 2.0 selama 23 hari telah terbazir? soalnya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meluahkan kebimbangannya mengenai peningkatan jumlah kluster melibatkan tempat kerja mutakhir ini.

“Kluster berkaitan perkilangan mencatatkan bilangan kluster tertinggi iaitu sebanyak 80 kluster dikuti kluster berkaitan pembinaan sebanyak 53 kluster dan kluster berkaitan perkhidmatan sebanyak 31 kluster,” menurutnya dalam kenyataan perkembangan situasi Covid-19 semalam.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker